Ringgit Malaysia melemah empat minggu berturut-turut sehingga 7 Julai selepas mencapai paras tertinggi berbanding US dolar di sekitar RM4.2500 pada 15 Jun lalu.
Ketika ini Usd/Myr didagang di sekitar RM4.2980 setakat pukul 4.32 pm pada Selasa.
Ketua strategi pelaburan matawang dan komoditi di Standard Chartered Malaysia Manpreet Singh Gill berkata mereka masih berpendirian agak positif terhadap Ringgit dengan jangkaan kelemahan US dolar dan harga minyak di bawah $50 setong.
Standard Chartered meramalkan Ringgit akan didagang di sekitar 4.2000 dan 4.3000 berbanding US dolar.
“Dua perkara menarik tentang Ringgit adalah, pertama pengukuhan US dolar, di mana Malaysia berhadapan dengan cabaran pengukuhan US dolar, tetapi pandangan kami dolar akan melemah sedikit yang akan mengurangkan cabaran Ringgit.”
Ringgit juga banyak mendapat kesan daripada pergerakan volatile (turun-naik) harga minyak mentah dunia. Komoditi ini adalah antara hasil utama Malaysia selain daripada kelapa sawit.
“Apa yang menghalang kami terhadap kenaikan Ringgit adalah kelemahan harga komoditi, khususnya minyak mentah.” kata Manpreet.
Walaupun OPEC dan non-OPEC berusaha untuk memotong pengeluaran bekalan minyak sejak awal tahun ini, kenaikan harga hanya terhad ke paras tertentu sebelum melemah semula.
Terbaru laporan pengeluaran oleh OPEC dan Amerika Syarikat meningkat minggu lalu yang memberi tekanan kepada komoditi ini dengan pengeluaran dari Libya dan Nigeria terus meningkat.