Ringgit Meleset RM4.69 Berbanding USD, Komen Fed Buat Pasaran Makin ‘Geram’!

339

Ringgit berundur sedikit berbanding dolar AS dengan dibuka rendah pada Selasa berikutan suasana risiko yang dilemahkan oleh komen pegawai Federal Reserve (Fed) yang berhati-hati.

Tepat jam 9 pagi tadi, ringgit jatuh kepada 4.6910 berbanding USD daripada penutup semalam pada 4.6850.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Muhd Afzanizam berkata seperti yang dijangkakan bahawa Fed terus menyuarakan lanjutan kadar faedah semasa kerana mereka yakin dengan trajektori disinflasi semasa.

Bagi mereka, pemotongan kadar faedah masih dianggap terlalu cepat buat masa sekarang.

Presiden Fed Cleveland, Loretta Mester berpendapat bahawa dasar monetari sekarang berada pada kedudukan yang baik untuk menangani risiko utama iaitu kadar inflasi semasa.

Sehubungan itu, ringgit dijangkakan akan diniagakan dalam julat ketat di saat tiada data-data utama yang berlangsung. Pasaran juga menantikan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan pada 23 Mei.

Katanya lagi, ringgit berkisar antara RM4.6800 hingga RM4.6900 kerana sesetengah peserta pasaran mungkin mengambil sedikit keuntungan kerana petunjuk teknikal menunjukkan tanda-tanda keadaan terlebih beli akan muncul.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun di mana ia menembusi paras 2.90. Pasangan mata wang itu didagangkan pada 2.9984/3.0012 daripada penutup semalam pada 3.0084/0104.

Walau bagaimanapun, jatuh berbanding euro kepada 5.0944/0988 daripada 5.0921/0948 dan susut berbanding pound British kepada 5.9613/9664 daripada 5.9518/9550.

Nota tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9550/9714 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.09/8.11.

Ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 293.5/293.9 daripada 293.1/293.5 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4813/4845 daripada 3.4809/4831 pada penutup semalam. – Bernama

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat