Risiko Ketegangan Timur Tengah – Dagangan Safe-Haven Jadi Pilihan

430

Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran yang kian hangat telah mendorong peningkatan permintaan terhadap aset safe-haven sekali gus mengangkat dagangan matawang yen dan logam kuning untuk diniagakan lebih tinggi.

Pada hari Ahad, Presiden AS Donald Trump telah mengeluarkan ancaman untuk mengenakan sekatan kepada Iraq susulan keputusan undian parlimen Iraq yang bersetuju supaya semua tentera asing diperintahkan keluar dari negara itu.

Selain itu, Iran pula mengisytiharkan bahawa ia tidak lagi mematuhi mana-mana sekatan yang dikenakan dalam perjanjian nuklear 2015.

Matawang yen meningkat 0.3% berbanding US dolar ke paras ketinggian tiga bulan pada awal pasaran sesi Asia, manakala harga emas pula melonjak sebanyak 2% dan diniagakan menghampiri paras tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Mac 2013.

Pasangan matawang AUD/JPY, pengukur kepada sentimen risiko disebabkan dolar Aussie yang berorientasikan perdagangan dan eksport berbanding status yen yang selamat, telah menjadi pemacu utama kepada peningkatan yen sejak Jumaat.

Turut menambah tekanan buat dolar Aussie pada sesi Asia, adalah bacaan data PMI perkhidmatan China hasil tinjauan Caixin yang menunjukkan bacaan lebih lemah daripada dijangkakan oleh pasaran.

Pergerakan matawang US dolar pula dibataskan dengan bacaan data PMI pembuatan Amerika Syarikat ISM yang merosot kepada 47.2, mencatat bacaan terendah dalam tempoh 10 tahun, jauh tersasar daripada jangkaan pasaran untuk meningkat sebanyak 49.

Penerbitan minit mesyuarat FOMC pada Sabtu, memperlihatkan para penggubal dasar Federal Reserve AS (The Fed) telah bersetuju untuk mengekalkan kadar faedah semasa dan kemungkinan untuk tetap tidak berubah bagi sementara waktu.

Di sisi lain, harga minyak terus diniagakan tinggi terkesan oleh kebimbangan terhadap bekalan minyak mentah yang mungkin terjejas disebabkan ketegangan di Timur Tengah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat