Risiko Pasaran Sedikit Reda Menjelang Dagangan Penghujung Minggu

173

Sentimen pasaran pada Khamis dilihat sedikit pulih berbanding risiko yang melanda pasaran semalam berikutan faktor ketidaktentuan politik global yang mendorong para pelabur lebih berwaspada mengawal risiko dagangan.

Dagangan dolar USD pada sesi New York semalam disokong oleh bacaan data jualan rumah baru di Amerika Syarikat untuk bulan Ogos yang mencatatkan angka lebih tinggi berbanding jangkaan dan bacaan yang terdahulu.

Berhubung isu kontroversi berkenaan siasatan rasmi terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dikaitkan dengan isu penyalahgunaan kuasa sebagai pemimpin, beliau telah mendedahkan transkrip panggilan telefon bersama Ukraine.

Jabatan Keadilan AS telah menyimpulkan bahawa Presiden Donald Trump tidak menyalahi undang-undang dan sekaligus mengurangkan peluang untuk dijalankan siasatan.

Perkembangan rundingan dagang AS-China pula, China dikatakan sedang membuat persiapan untuk mempertingkatkan belian produk pertanian dari Amerika Syarikat. Presiden Trump juga turut mengeluarkan kenyataan bahawa perjanjian semakin menghampiri kesepakatan lebih cepat berbanding jangkaan pasaran.

Di Britain pula, pergolakan politik masih berlarutan dan kini Parlimen UK telah pun kembali semula daripada direhatkan sebelum ini.

Perdana Menteri Ireland, Leo Varadkar menyatakan UK perlu segera membentangkan pelan cadangan bagi penyelesaian isu kawalan sempadan sebelum persidangan Kesatuan Eropah pada pertengahan Oktober ini.

Ketidaktentuan yang melanda terus kembali menekan dagangan Pound Sterling pada minggu ini.

Turut mengiringi penurunan Sterling adalah dagangan dolar Euro yang mencatatkan penurunan ke sekitar paras terendah tahunan berbanding dolar USD.

Dolar New Zealand pula gagal mengekalkan momentum pengukuhan harga susulan keputusan mesyuarat polisi monetari diumumkan oleh bank pusat semalam. Sementara, dolar Aussie terus diniagakan lemah berikutan jangkaan penurunan kadar faedah ke paras rekod terendah yang baru oleh bank pusat pada mesyuarat polisi awal Oktober.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat