Pasaran emas kekal menyaksikan turun naik harga yang ketara pada permulaan dagangan awal minggu ketika negara-negara Barat terus bertindak balas terhadap serangan Rusia ke atas Ukraine.
Kritikan dan sekatan ekonomi yang dilemparkan terhadap Rusia, telah mencetuskan amaran dari Presiden Vladimir Putin selepas beliau mengarahkan pasukan tentera nuklearnya untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Hal ini secara tidak langsung mengakibatkan kebimbangan pasaran bahawa Rusia akan menggunakan senjata nuklearnya, sekali gus mendorong permintaan terhadap safe-haven.
Meneliti pergerakan harga, spot emas diniagakan stabil pada sekitar harga $1,910 per auns selepas meningkat lebih 1% pada pasaran sesi Asia dibuka.
Bagaimanapun, kenaikan yang dicatatkan harga emas agak terhad, menunjukkan peningkatannya terbatas disebabkan pengukuhan US dolar.
Logam berharga itu telah meraih keuntungan sekitar 6.3% pada bulan ini dengan sokongan daripada kebimbangan terhadap lonjakan inflasi global dan konflik Rusia dan Ukraine yang bertambah buruk selepas Moscow melancarkan serangannya pada Khamis lalu.
Amerika Syarikat dan sekutunya terus menjatuhkan sekatan terhadap Kremlin, di mana yang terbaharu negara G7 telah bersetuju untuk mengecualikan bank utama Rusia daripada SWIFT dan menyasarkan rizab antarabangsa Bank Pusat Rusia.
Susulan ketidaktentuan ini, logam berharga itu kini di landasan untuk merekodkan bulan terbaiknya sejak Mei 2021.