Saham Mah Sing ‘Laku Keras’!

664

Mah Sing Group Bhd muncul kaunter paling aktif didagangkan pada sesi awal hari ini susulan laporan mengenai cadangan penyenaraiannya.

Pada pukul 9.30 pagi, saham syarikat terbabit meningkat 12% atau 11 sen kepada RM1.05 dengan lebih 92 juta unit saham saling bertukar tangan.

Dalam laporan semalam, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, syarikat itu menyasarkan untuk menyenaraikan cabang pembuatan dan perniagaan sarung tangannya, Mah Sing Healthcare Sdn Bhd di Bursa Saham Hong Kong dalam tempoh lima tahun.

“Kami komited untuk menjadi peserta jangka panjang dan memberi nilai lebih besar kepada para pemegang saham serta berusaha untuk muncul sebagai antara pembuat sarung tangan terkemuka dalam industri.

“Kami juga meninjau kemungkinan bagi penyenaraian bahagian pembuatan kami secara berasingan daripada kumpulan untuk membuka lagi nilainya,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Mah Sing menyasarkan pasaran Hong Kong memandangkan permodalan syarikat-syarikat di sana hampir 15 kali ganda berbanding di Bursa Malaysia.

Pengarah Eksekutif Korporat dan Pelaburan, Datuk Steven Ng Poh Seng berkata, dari segi jumlah dagangan pula, pasaran Hong Kong mempunyai hampir 20 kali ganda dan lebih mudah untuk penggabungan serta pengambilalihan serta memperoleh kontrak perniagaan berikutan kedudukannya sebagai pasaran antarabangsa.

Mah Sing turut mengumumkan bahawa ujian dan pentauliahan dua barisan pengeluaran sarung tangan pertama di kilang pembuatan sarung tangan pertamanya juga kini selesai.

Operasi dijangka bermula bulan depan dan penghantaran sarung tangan pertama mungkin dibuat dalam tempoh dua bulan akan datang.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat