Situasi Di Ukraine Makin Tegang, Ini Impak Pada Pasaran Mata wang!

1,693

Permulaan dagangan awal minggu menyaksikan pasaran diselubungi oleh sentiment berisiko ekoran kemungkinan bakal tercetusnya peperangan di Eropah Timur, menyebabkan pergerakan kebanyakan mata wang utama terus terbatas.

Kebimbangan mengenai situasi di Ukraine yang semakin tegang mendorong mata wang euro untuk susut di bawah harga 1.1400 berbanding US dolar, kedudukannya yang dipertahankannya sejak minggu lepas.

Sejak minggu lalu, kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat dan Eropah telah mengarahkan rakyat-rakyat mereka untuk keluar daripada Ukraine kerana kekhuatiran bahawa Rusia akan menyerang bila-bila masa sahaja.

Ini diperkuatkan lagi dengan tindakan Rusia yang menjalankan latihan ketenteraan di negara jiran, Belarus meskipun sebelum ini mereka berulang kali menafikan dakwaan akan menyerang Ukraine.

Pasaran mata wang yang sudah sedia tidak menentu disebabkan kebimbangan terhadap risiko inflasi di Amerika Syarikat, terus mempamerkan aksi perlahan pada dagangan awal minggu.

Hal ini dapat dilihat pada mata wang sensitif risiko, dolar Aussie dan kiwi terus terperangkap di sekitar paras terendah minggu lalu. Laporan minit mesyuarat Bank Pusat Australia (RBA) akan dijadikan tumpuan utama buat pelabur dolar Aussie pada sesi Asia esok.

Sementara itu, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding kebanyakan mata wang utama mendapat sokongan untuk meningkat pada sekitar harga 96.00.

Dalam pada itu, mata wang pound terus bergerak di sekitar harga yang sama pada sekitar harga 1.3550 berbanding US dolar, dengan tumpuan pelabur kini beralih kepada penerbitan data inflasi UK yang akan dikeluarkan pada Rabu.

Berikutan ketiadaan data ekonomi yang berimpak besar pada awal minggu ini, pergerakan pasaran dijangka akan terus dipengaruhi oleh perkembangan semasa mengenai Rusia dan Ukraine.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat