Sony & Lego Labur $2 Bilion Kepada Epic Games Untuk Bangunkan Metaverse

320

‘Nampaknya semua dah mula berlumba-lumba nak melabur dalam metaverse ni.’

Sony Group Corp dan Kirkbi, syarikat pelaburan milik Lego Group telah melaburkan US$2 bilion ke dalam syarikat pencipta permainan video ‘Fortnite‘, Epic Games.

Menurut kenyataan rasmi Epic Games, Sony telah menyuntik pelaburan sebanyak $1 bilion dan Kirkbi turut melakukan perkara sama, seterusnya menjadikan nilai terkumpul syarikat pada $31.5 bilion dalam usahanya untuk merealisasikan metaverse.

Pada minggu lalu, Epic Games dan Lego telah memeterai kerjasama untuk membangunkan metaverse ‘mesra keluarga’ untuk kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kirkbi, Soren Thorup Sorensen, menyifatkan kerjasama tersebut sangat penting untuk memberi impak pada masa hadapan kanak-kanak dan pelaburan tersebut akan mempercepatkan penglibatan syarikat ke dalam dunia permainan digital.

Pelaburan baru antara Sony dan Lego dengan Epic Games merancakkan lagi perlumbaan syarikat-syarikat gergasi untuk merealisasikan impian metaverse.

Terdahulu, Microsoft Inc pada Januari lalu telah membeli syarikat permainan video ‘Call of Duty‘, Activition Blizzard sebanyak $68.7 bilion yang merupakan perolehan terbesar dalam sektor permainan serta merangsang perkembangan industri metaverse.

Selain itu, Roblox Corp yang menghasilkan permainan video Roblox, turut sama membina metaverse-nya sendiri yang membolehkan jutaan orang untuk berkumpul atau bekerja dalam ekonomi maya bersandarkan Robux, mata wang dalam aplikasi permaianan tersebut.

Dalam pada itu, Meta Platform Inc juga sedang menguji alat untuk penjualan aset digital mereka melalui platform maya, Horizon Worlds sebagai persediaan ke dalam metaverse.

Meta menyatakan alat tersebut membolehkan pengguna mencipta kelas maya, permainan dan aksesori fesyen yang diakses melalui set kepala virtual reality (VR), kemudian menjual aksesori atau menawarkan akses berbayar kepada ruang digital khusus yang dibina.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat