Sumbangan Tunai Rahmah Mula Diagihkan Pada Isnin Depan, Naik RM500 Setiap Isi Rumah

1,151

Terkini, kerajaan akan meningkatkan Bantuan Tunai Rahmah (STR) kepada RM500 setiap isi rumah pada tahun ini daripada RM300 sebelum ini bermula Isnin depan.

Peruntukan untuk STR fasa 1 akan meningkat 26% daripada tahun sebelumnya kepada RM2.1 bilion dalam usaha membantu lebih ramai orang dalam menangani peningkatan kos sara hidup.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kewangan, kenaikan itu akan memanfaatkan sejumlah 8.2 juta individu yang layak mendaftar untuk STR tahun ini.

Kementerian itu juga berkata nilai itu dijangka meningkat kepada kira-kira sembilan juta individu yang layak sebaik permohonan baharu diterima sepanjang tahun.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan kos sara hidup adalah salah satu isu utama yang selalu dibangkitkan oleh masyarakat tempatan.

Katanya lagi, Anwar memahami kesusahan itu dan kerajaan sedang berusaha keras untuk memastikan bantuan dapat ditingkatkan dengan segera agar masalah asas ini dapat diselesaikan.

Padanya, tiada sesiapa yang akan ketinggalan di bawah pentadbiran kerajaan Madani.

Kerajaan Madani akan memastikan isi rumah berpendapatan rendah akan terus diberikan bantuan sewajarnya. Ia selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Mereka juga sentiasa peka dengan aduan rakyat dan akan terus menambah baik bantuan STR dalam usaha membantu rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

Kementerian Kewangan itu berkata pembayaran Fasa 1 bagi penerima berdaftar akan dikreditkan ke dalam akaun bank mereka atau diagihkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mulai Isnin ini. Pembayaran akan dibuat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Kementerian juga menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan pautan palsu mengenai program STR oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat