Supermax Terus Goyah, Kerajaan Kanada Tamatkan Kontrak

343

Lepas Amerika Syarikat (AS) kini giliran Kanada pula.

Supermax Corp Bhd mengesahkan bahawa kerajaan Kanada telah menamatkan kontrak pembekalan sarung tangan nitril ekoran dakwaan buruh paksa.

Menurut pemfailan Bursa, Supermax Canada Inc, anak syarikat Supermax di Kanada telah bersetuju untuk menamatkan persetujuan bersama dengan kerajaan Kanada mengenai 2 kontrak sedia ada untuk pembekalan sarung tangan nitril.

Sementara itu, Supermax menambah kontrak untuk membekalkan produk peralatan pelindungan diri (PPE) lain di Kanada tidak akan berjejas.

Sebagai rekod, Supermax telah menghadapi sekatan import oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS yang telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahanan ( WRO) selepas mendapati syarikat itu mengamalkan amalan buruh paksa pada Oktober tahun lalu.

Ekoran dripada itu, keuntungan bersih Supermax bagi suku-1 berakhir 30 September 2021 (1QFY22) jatuh 1/3 pada RM638.52 juta berbanding RM958.71 juta yang dicatat pada suku sebelumnya (4QFY21).

Selain itu, hasil suku tahun Supermax susut 22.4% pada RM1.45 bilion suku ke suku daripada RM1.88 bilion pada 4QFY21.

Pada asas tahunan, keuntungan bersih suku tahunannya jatuh 19% berbanding RM789.52 tahun lalu dan hasil adalah 7.62% lebih tinggi berbanding RM1.35 bilion pada suku yang sama sebelumnya.

Supermax berkata ia merekodkan peningkatan jualan daripada kapasiti tambahan yang dijana oleh kilang terbaharunya yang telah ditauliahkan pada tahun itu.

Dalam pada itu, Supermax turut menyatakan bahawa mereka telah memulakan usaha mematuhi piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) terhadap pekerja asing sejak 2019.

Sebagai bukti, syarikat tersebut telah melancarkan dasar pengurusan pekerja asing baru dan komprehensif seperti memberi struktur gaji dan faedah yang sama untuk pekerja asing di Malaysia selain menetapkan semula gaji minimum kepada RM1,400 digunakan bagi setiap kategori.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat