Pasaran sesi Asia Selasa melihatkan US dolar sedikit meningkat selepas mencatatkan penyusutan pada permulaan dagangan awal minggu.
Indeks dolar yang mengukur prestasi dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama diniagakan pada 104.64 ketika penulisan, setelah berundur dari atas 105.00 pada Isnin.
Arah US dolar masih tidak menentu memandangkan pelabur mengambil langkah berhati-hati menjelang data inflasi pengguna (CPI) pada Rabu dan inflasi pengeluar (PPI) pada hari Khamis.
Angka-angka yang bakal diterbitkan itu bakal menjadi petunjuk sangat penting untuk mesyuarat polisi FOMC yang akan berlangsung pada minggu depan.
Hari ini, pelabur akan memberi tumpuan kepada penerbitan data pekerjaan UK yang boleh memberi petunjuk kepada dasar Bank of England (BOE) seterusnya.
Menjelang terbitan data itu, mata wang pound didagangkan berlegar pada sekitar harga 1.2500 berbanding greenback.
Sementara itu, euro gagal memanfaatkan peluang daripada penyusutan US dolar untuk bergerak lebih tinggi, melihatkannya kekal mendatar di atas paras harga 1.0730 menjelang keluaran data sentimen ekonomi Jerman tinjauan ZEW.
Dalam pada itu, yen diniagakan stabil selepas mencatatkan keuntungan pada hari Isnin, disokong oleh kenyataan Gabenor Bank of Japan (BOJ) Kazuo Ueda untuk keluar dari dasar monetari yang longgar.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand kembali bergerak mendatar setelah gagal meneruskan kenaikan yang dicatatkan pada awal minggu.
Selain itu, dolar Kanada pula terus mempertahankan pengukuhan yang diraihnya sejak Jumaat lalu, ditambah dengan sokongan daripada harga minyak yang kekal menguat.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.