The Founder merupakan sebuah filem adaptasi dari kisah sebenar tentang perjalanan restoran makanan segera terkenal iaitu McDonald’s.
Filem tersebut telah ditayangkan pada tahun 2016, yang diarahkan oleh John Lee Hancock dan ditulis oleh Robert Siegel.
Antara barisan pelakon yang terlibat dalam filem ini termasuklah Michael Keaton sebagai watak utama Ray Kroc, Nick Offerman sebagai Dick McDonald, dan John Carroll Lynch sebagai Mac McDonald.
Filem The Founder ini memaparkan kisah perjalanan McDonald’s yang berkembang menjadi sebuah jenama rangkaian yang dikenali di seluruh dunia dengan kualiti makanan yang konsisten di setiap cawangannya.
Permulaan Penubuhan McDonald’s
Pada tahun 1940, kedai makanan segera McDonald’s pertama telah dibuka oleh dua orang adik-beradik iaitu Maurice (Mac) dan Richard (Dick) McDonald di San Bernardino, California.
Mereka telah berhijrah ke California untuk mencari peluang pekerjaan, di mana pada awalnya Mac dan Dick mempunyai sebuah teater filem sendiri sebagai perniagaan pertama yang mereka ceburi.
Namun perniagaan tersebut tidak bertahan lama sebelum menemui kegagalan.
Hal ini telah membuatkan mereka cuba menceburi bidang perniagaan lain seperti makanan yang sentiasa mendapat sambutan.
Adik-beradik McDonald tersebut mula mendapat idea untuk membuka kedai makan dengan pelbagai menu dengan servis dine in seperti kebanyakan kedai-kedai makanan yang lain pada era itu.
Lapan tahun berikutnya iaitu pada tahun 1948, mereka telah membuat revolusi atau perubahan ketara pada operasi kedai makan mereka dengan memperkenalkan sistem servis pantas (speedee service system), servis layan diri (self service), dan mengurangkan jumlah menu dengan hanya menyediakan hamburger, potato chips, minuman dan pie sahaja pada harga yang rendah.
Selepas 3 bulan pembaikan semula dijalankan, McDonald’s dibuka semula dengan mementingkan kualiti makanan, kebersihan serta persekitaran kekeluargaan (family-friendly atmosphere).
Kemunculan Ray Kroc
Dalam filem The Founder, watak Ray Kroc menjadi peneraju utama jalan cerita di mana beliau mula-mula menjumpai McDonald’s dan perubahan besar telah berlaku pada perniagaan tersebut.
Pada tahun 1954, Ray Kroc yang merupakan seorang jurujual mesin minuman multimixer dari Illinois terkejut dengan jumlah pesanan mesin yang dijual beliau oleh McDonald’s.
Hal ini kerana beliau telah berkali-kali mencuba untuk menjual mesin berkenaan kepada banyak kedai makan lain namun tidak mendapat mendapat sambutan dan kebanyakannya langsung tidak berminat.
Oleh itu, pesanan hingga 8 buah mesin multimixer oleh McDonald’s membuatkan Kroc berasa teruja ingin melihat sendiri keadaan restoran McDonald’s berkenaan.
Apabila tiba di sana, Ray Kroc berasa sangat kagum dengan sistem yang digunapakai oleh McDonald’s dan beliau meminta dua beradik itu untuk menceritakan bagaimana mereka mendapat ilham untuk mencipta dan menggunakan sistem hidangan pantas di restoran mereka.
Ray Kroc sebelum ini tidak pernah lagi melihat sebuah kedai makan yang mempunyai sisitem yang efisyen seperti McDonald’s.
Kroc melihat potensi restoran McDonald’s dan mencadangkan kepada Mac dan Dick untuk mengembangkan kepada beberapa cawangan di seluruh AS.
Pada awalnya Mac dan Dick menolak cadangan tersebut dengan mengatakan mereka sudah pernah cuba membuka cawangan lain pada masa lalu namun ia gagal.
Mac dan Dick sangat mementingkan kualiti pada makanan mereka, oleh itu pembukaan cawangan baharu bakal memberi beban kepada mereka dalam menjaga kualiti.
Ray Kroc Sertai McDonald’s
Ray Kroc akhirnya menawarkan dirinya sebagai ketua yang akan memantau kualiti makanan dan kebersihan di setiap cawangan yang baharu yang akan dibuka.
Pada 15 April 1955, Kroc membuka cawangan McDonald’s pertama di Illinois dan melancarkan McDonald’s Corporation bagi menggantikan Mc Donald’s System Inc.
Kroc ingin menjadikan McDonald’s sebagai ikon untuk AS dengan bangunan unik yang berjubin warna merah dan putih serta mempunyai lengkung kuning yang dikenali sebagai golden arches bagi membezakan kedai makanan mereka dengan kedai yang lain.
Kroc sebelum ini meyakinkan Mac dan Dick bahawa misinya untuk mengembangkan McDonald’s di setiap wilayah di AS seperti berkibarnya bendera AS pada setiap bangunan kerajaan dan lambang salib yang terletak di puncak bangunan gereja di setiap wilayah di AS.
Masalah Kewangan
Setelah beberapa tahun berlalu, Kroc menghadapi masalah kewangan akibat kos tinggi bagi penggunaan peti sejuk untuk menyimpan aiskrim, hutang dan pendapatan yang sedikit daripada perkongsian beliau bersama McDonald’s seperti dalam kontrak yang telah ditandatangani.
Masalah kos penyimpanan aiskrim telah dapat ditangani oleh Kroc apabila idea penggunaan serbuk milkshake yang telah disarankan Joan, isteri salah seorang pelabur yang bekerjasama dengan Kroc, bagi menggantikan aiskrim supaya dapat memotong kos perbelanjaan peti sejuk.
Namun idea tersebut telah ditolak oleh Mac dan Dick demi menjaga kualiti makanan McDonald’s.
Selain itu, Ray Kroc juga berdepan dengan hutang sehingga beliau dipanggil oleh pihak bank dan pada suatu hari perbualan beliau bersama pegawai bank tersebut telah didengari oleh Harry Sonneborn iaitu seorang penasihat kewangan.
Harry Sonneborn menawarkan dirinya untuk melihat sendiri buku kewangan Kroc dan beliau mendapati terdapat satu cara untuk membantu Ray Kroc, iaitu dengan pembelian tanah pada cawangan-cawangan McDonald’s.
Orang ramai mula menganggap bahawa Ray Kroc sebagai pemilik sebenar McDonald’s dan ini telah membuatkan beliau mula berhasrat untuk membeli dan memiliki jenama berkenaan.
McDonald’s Dirampas Dari Pemilik Asal
Mac dan Dick berasa tercabar dengan tindakan Kroc yang membuka cawangan baharu sesuka hati dan menggunakan serbuk milkshake pada cawangan lain tanpa keizinan dan pengetahuan mereka.
Tindakan Ray Kroc yang melanggar kontrak itu turut menyebabkan Mac pengsan dan dirawat di hospital.
Ray datang menziarahi Mac dan memberikan mereka sebuah cek kosong dengan hasrat untuk membeli McDonald’s.
Akhirnya Mac dan Dick terpaksa akur dan bersetuju untuk menjual McDonald’s kepada Ray Kroc kerana mereka merasa bahawa mereka tidak akan menang ke atas sikap Kroc yang degil tersebut.
Kroc telah membeli McDonald’s dengan harga $2.7 juta pada tahun 1961 bersamaan dengan nilai sekitar $26 juta pada waktu sekarang.
The Founder ditamatkan dengan babak Ray Kroc pada tahun 1970 yang sedang berlatih untuk berucap di hadapan cermin dengan kata-kata yang ditiru dan fakta yang palsu.
McDonald’s kini telah mempunyai lebih 40,000 cawangan restoran di seluruh dunia dengan dikunjungi sekitar 70 juta pelanggan setiap hari.