Oktober mungkin bukan bulan yang baik buat Facebook setelah platform sosial media terbesar dunia itu mengalami gangguan selama lebih enam jam pada Isnin setelah terpalit dengan isu ‘whistleblower‘.
Gangguan ini bukan sahaja memberi kesan kepada Facebook, tetapi juga ke atas aplikasi Whatsapp, Instagram dan Messenger. Downdetector, yang mengesan gangguan tersebut mengatakan ia adalah kekacauan terbesar yang pernah dilihatnya dengan 10.6 juta masalah dilaporkan di seluruh dunia.
Facebook kini sedang menghadapi krisis besar setelah pemberi maklumat yang mengeluarkan puluhan ribu halaman penyelidikan dan dokumen dalaman syarikat telah mendedahkan identitinya pada malam Ahad.
Bekas pengurus produk Facebook yang berusia 37 tahun itu mendakwa bahawa dokumen tersebut menunjukkan bahawa Facebook tahu platformnya digunakan untuk menyebarkan kebencian, keganasan dan maklumat yang salah dan syarikat itu berusaha untuk menyembunyikan bukti itu.
Kedua-dua isu ini telah menyebabkan penjualan besar-besaran saham Facebook sehingga mengakibatkan CEO Mark Zuckerberg kehilangan $7 bilion dalam masa beberapa jam sahaja daripada pendapatan bersihnya.
Dengan kejatuhan paling buruk tahun ini dalam sahamnya sekitar 4.9%, Zuckerberg tergelincir ke kedudukan kelima orang terkaya di dunia di belakang Bill Gates (Bloomberg’s Billionaires Index).