Donald Trump dilihat masih tidak dapat menerima kekalahannya dengan terus berusaha untuk membangkitkan keraguan terhadap keputusan pilihan raya ketika presiden baru Amerika Syarikat, Joe Biden memulakan langkah pertamanya untuk ke White House.
Trump dalam satu kenyataan yang dikeluarkan setelah Biden diumumkan sebagai presiden terpilih, memberitahu bahawa pilihan raya ini masih belum selesai.
Joe Biden didakwa belum disahkan sebagai pemenang di mana-mana negeri, apatah lagi di kawasan di mana undi perlu dikira semula, atau negeri yang kempen Trump telah mengemukakan tuntutan undang-undang sah yang akan menentukan pemenang utama.
Donald Trump juga menegaskan pasukannya akan memfailkan tuntutan saman secepatnya pada hari ini yang mendakwa beliau memiliki banyak bukti penipuan dalam pilihan raya kali ini.
Dalam pada itu, menantu dan isteri beliau, Jared Kushner dan Melania Trump dilaporkan telah menasihatinya supaya menerima kekalahan ini, lapor CNN.
Sementara itu, ketika masih dihujani dengan ucapan tahniah daripada pemimpin-pemimpin seluruh dunia, Biden telah bergerak sebagai presiden terpilih dengan melancarkan laman web peralihannya, BuildBackBetter.com dan Twitter @Transition46.
Selain itu, Biden dilaporkan akan mengumumkan barisan pasukan petugas beliau bagi menangani wabak coronavirus pada hari ini selain turut memanggil Republikan dan Demokrat di Kongres untuk membincangkan mengenai pakej ransangan baru.