Ulasan Pergerakan Pasaran Tukaran Matawang Sepanjang Minggu Ini (04 Sept – 08 Sept)

108

US dolar menamatkan minggu ini dengan melemah berbanding majoriti matawang dunia, ditekan oleh banyak faktor termasuk bencana alam. Selepas ribut Harvey yang membadai Texas pada Ogos, kini ribut Irma pula menjadi kebimbangan sesetengah pemain pasaran khususnya di selatan Amerika Syarikat.

Selain daripada faktor bencana yang menekan US dolar,faktor polisi dan politik juga tidak dapat dinafikan. Antaranya ialah risiko siling hutang kerajaan Amerika Syarikat yang mencapai had nya. Apa yang menjadi kebimbangan ialah jika kerajaan kehabisan dana dan tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya di dalam operasi pentadbiran kerajaan termasuklah membayar hutang. Namun, Kongres hanya meluluskan siling hutang Amerika sehingga Disember ini sahaja.

Risiko geopolitik dengan Korea Utara juga masih belum dapat jalan penyelesaian dengan kebimbangan pasaran terhadap perkara ini akan terus kekal. Setakat ini, belum ada usaha yang konkrit antara kuasa besar dunia dalam menyelesaikan perkara ini dan ia dijangka mengambil masa yang agak lama dengan kedegilan Korea Utara yang terus membuat ujian peluru berpandu. Anda pasti perasan, apabila Korea melancarkan ujian senjatanya, pastinya ia juga mempengaruhi pasaran terutamanya US dolar itu sendiri dan aset safe-haven.

Kenaikan kadar faedah The Fed pada Disember pula semakin diragui dengan siri data-data ekonomi terutamanya inflasi yang terus menurun. Yang terbaru, beberapa ahli The Fed yang mengundi di dalam FOMC memberikan komen ‘dovish’ terhadap polisi dan ini seterusnya telah menyebabkan pasaran hadapan Fed Fund Future semakin menunjukkan kebarangkalian yang kecil bagi kenaikan kadar faedah Disember.

Tiga daripada bank pusat utama dunia juga bermesyuarat pada minggu ini iaitu RBA, ECB  dan BoC. Ulasan untuk ketiga-tiga bank pusat ini telah dihuraikan seperti di bawah.

Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu ini kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu ini dan minggu lepas untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.

28 Ogos – 01 Sept 04 Sept – 08 Sept
Eur/Usd- jatuh 247 pip Eur/Usd- naik 224 pip
Usd/Jpy– naik 240 pip Usd/Jpy– jatuh 261 pip
Gbp/Usd– sideway 142 pip Gbp/Usd– naik 315 pip
Usd/Chf- naik 250 pip Usd/Chf- jatuh 198 pip
Usd/Cad– jatuh 323 pip Usd/Cad– jatuh 365 pip
Aud/Usd– naik 125 pip Aud/Usd– naik 183 pip
Nzd/Usd– jatuh 167 pip Nzd/Usd– naik 193 pip

 

Tanpa membuang masa lagi, mari kita lihat ulasan keseluruhan pasaran sepanjang minggu ini.

  • Penetapan polisi monetari ECB (Khamis)

Berikut merupakan antara komen Draghi dalam sidang media:

Kadar tukaran bukanlah sasaran polisi bank pusat, namun ia penting untuk pertumbuhan ekonomi dan inflaasi. Mario Draghi bagaimanapun kekal yakin dengan pertumbuhan ekonomi dalam sidang media pada Khamis. Unjuran oleh staf ECB menunjukkan tiada perubahan pada 2018 dan 2019 dengan pertumbuhan 2017 dinaikkan. Untuk inflasi 2017, unjuran masih dikekalkan 1.5% dengan dua tahun ke depan masing-masing diturunkan.

Apa yang paling penting adalah beliau memberikan panduan bahawa lebih banyak keputusan tentang pelonggaran kuantitatif akan dibuat pada Oktober.

Secara keseluruhan, komen Draghi dan Constancio terhadap pelonggaran kuantitatif (QE) adalah sejajar dengan jangkaan tetapi tiada komen yang jelas terhadap pengukuhan matawang euro dan juga sedikit keraguan kepada penurunan ramalan inflasi pada 2018 dan 2019.

  • Penetapan polisi monetari Bank of Canada (Rabu)

BoC membuat kejutan dengan menaikkan kadar faedah dua kali berturut-turut pada Rabu. Antara kenyataan bank pusat adalah:

Data-data ekonomi sejak akhir-akhir ini semakin kukuh daripada jangkaan dan menyokong pendirian bank pusat bahawa pertumbuhan semakin menyeluruh dan boleh bertahan dengan sendirinya (self-sustaining).

Perbelanjaan pengguna kekal kukuh yang disokong oleh pasaran pekerjaan yang semakin baik dan juga pertumbuhan pendapatan. Selain itu, terdapat kekuatan yang semakin menyeluruh dalam pelaburan perniagaan dan eksport.

  • Penetapan polisi monetari RBA (Selasa)

RBA mengakui bahawa kadar pertumbuhan pendapatan yang lemah mungkin akan berterusan di masa hadapan di samping kadar inflasi yang masih rendah. Penggubal polisi juga menjangkakan matawang Aussie yang menguat akan terus menekan harga daripada naik buat masa ini.

  • Ucapan Fed Brainard (Selasa)

Inflasi jatuh jauh di bawah sasaran, oleh itu The Fed patut berhati-hati untuk menaikkan kadar faedah sehinggalah bank pusat benar-benar yakin ia akan naik semula, kata Fed Brainard pada Selasa. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kelemahan data telah menolak inflasi-teras kepada 1.4%, kata Brainard.

  • Data PMI sektor- perkhidmatan UK (Selasa)

Sektor perkhidmatan perlahan pasa Ogos yang ditunjukkan oleh data PMI sektor perkhidmatan merosot daripada 53.8 kepada 53.2. Terdapat tekanan ke atas kepada kos dengan harga input meningkat ke paras tertinggi enam bulan lalu. Caj perkhidmatan juga meningkat ke paras tertinggi sejak April di mana halangan kapasiti (capacity constraint) cenderung memberi tekanan ke atas kepada harga.

  • Data pertumbuhan ekonomi Australia (Rabu)

GDP berkembang 0.8% pada suku tahun kedua, selepas meningkat 0.3% pada suku tahun pertama (Januari hingga Mac). Bacaan tersebut mengikut jangkaan penganalisis pasaran. Pada unjuran tahun ke tahun, ekonomi telah berkembang 1.8% berbanding 1.7% pada suku tahun pertama. Perbelanjaan isi rumah juga meningkat 0.7% manakala barangan dan perkhidmatan eksport pula naik 2.7% bagi suku tahun kedua.

  • Data PMI sektor- perkhidmatan US (Rabu)

Indeks sektor perkhidmatan US (ISM non-manufacturing index) meningkat kepada 55.3 pada Ogos daripada 53.9 sebelum ini, namun catatan kali ini rendah daripada ramalan 55.6. 15 daripada 18 industri dalam sektor perkhidmatan US merekodkan pertumbuhan pada Ogos dan majoriti responden optimis dengan keadaan perniagaan di masa hadapan.

  • Data pekerjaan Kanada (Jumaat)

Tambahan pekerjaan sebanyak 22,000 pada Ogos yang mana lebih tinggi daripada jangkaan 18,000 dan melebihi jumlah yang dicatatkan pada Julai iaitu 10,900.

Walaubagaimanapun, pekerjaan sepenuh-masa jatuh mendadak sebanyak 88,100 berbanding kenaikan 35,100 sebelum ini. Pekerjaan separuh-masa pula menambah sebanyak 110,000 pekerjaan berbanding 24,300 yang dicatatkan pada Julai.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat