Walaupun momentum agak sedikit pudar di penghujung minggu, namun US dolar dilihat berjaya pamerkan prestasi cemerlang dengan pengukuhan mingguan terbesar sejak September.
Seperti yang dinilai dari minggu sebelumnya, faktor utama yang mendorong pengukuhan US dolar adalah sentimen kemenangan pilihan raya Donald Trump dan dasar monetari Federal Reserve (Fed).
Setelah pemotongan kadar faedah lebih kecil dilaksanakan untuk mesyuarat November, pentadbiran Trump bakal memberi kesan peningkatan US dolar dengan polisi berkenaan tarif dan risiko lonjakan semula inflasi di Amerika Syarikat (AS).
Situasi tersebut semakin mengecilkan ruang kepada Fed untuk melaksanakan pemotongan lanjut kadar faedah seperti yang dirancang sebelum ini.
Tambahan pula, Pengerusi Fed Jerome Powell pada kenyataannya minggu lalu menyatakan bahawa bank pusat tidak perlu tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah berikutan data-data terbaru menunjukkan ekonomi masih bergerak kukuh.
Penganalisis yang menjangkakan pengukuhan US dolar bakal dilanjutkan minggu ini berkemungkinan bakal memberi tekanan berterusan kepada mata wang utama yang lain.
Euro terutamanya yang telah susut ke paras terendah sejak Oktober 2023 dilihat berisiko untuk alami kejatuhan lanjut.
Mata wang yang membuat kejutan pada dagangan penghujung minggu lalu adalah Yen apabila pamerkan lonjakan mendadak di sesi-sesi akhir dengan penganalisis memberi amaran risiko campur tangan oleh Jepun ke dalam pasaran.
Tumpuan akan terarah terhadap jangkaan Gabenor Bank of Japan (BOJ) Kazuo Ueda yang akan menyampaikan ucapan di awal minggu ini berkemungkinan bakal memberi isyarat kenaikan kadar faedah pada Disember.
Data-data ekonomi sepanjang minggu ini akan diperhatikan selain tumpuan turut akan diberikan kepada ucapan oleh ahli-ahli bank pusat bagi petunjuk selanjutnya.