US Dolar Berundur Dari Paras Tertinggi 3 Bulan, Ada Petanda Penting?

564

Tidak meneruskan momentum dengan baik, mata wang US dolar sedikit susut semalam dari paras ketinggian 3 bulan yang dicapai selepas lonjakan kukuh ketika data inflasi Amerika Syarikat (AS) diterbitkan.

Bacaan inflasi yang masih dinilai tinggi untuk AS pada Januari kekal menunjukkan isyarat bahawa Federal Reserve (Fed) tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah.

Indeks dolar (DXY) menghampiri paras tertinggi beberapa minggu pada 150.00 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS sedikit susut dari paras 4.33% yang tertinggi dicapai sejak Disember lalu.

Penganalisis melihat pergerakan tersebut sebagai pembetulan harga sahaja untuk US dolar dengan ramalan pengukuhan US dolar boleh diteruskan lagi selepas ini.

Namun, beberapa data ekonomi AS akan menjadi tumpuan menuju ke penghujung minggu.

Di sesi New York malam ini akan diterbitkan data jualan runcit AS, tuntutan faedah pengangguran dan juga bacaan indeks pembuatan Empire State.

Pada Jumaat pula, data inflasi pengeluar (PPI) AS akan diterbitkan bersama tinjaun sentimen pengguna oleh Universiti Michigan untuk sesi terakhir minggu ini.

Di sesi Asia pagi ini, data pertumbuhan ekonomi Jepun diterbitkan dengan bacaan angka suram yang akan menambahkan lagi cabaran untuk kerajaan dan bank pusat dalam mengawal kestabilan ekonomi.

Begitu juga laporan pekerjaan Australia yang menyaksikan kadar pengangguran meningkat, memberi tekanan kepada dolar Aussie pada reaksi awal.

Di sesi Eropah pula, pelabur akan menantikan data pertumbuhan ekonomi UK yang bakal mempengaruhi pergerakan mata wang Pound dalam pasaran.

Ini akan menambahkan tekanan kepada Pound yang telah semakin melemah semalam susulan terkesan oleh data inflasi UK yang diterbitkan.

Pelabur turut memberi perhatian kepada ucapan gabenor Bank of England (BOE) Andrew Bailey semalam yang mengulas berkenaan ekonomi semasa dengan data-data terkini yang hadir belum lagi mengubah keputusan polisi pada Februari.

Dengan penyusutan sedikit US dolar yang tidak meneruskan momentum sebelum ini, kebanyakan mata wang utama dilihat mengambil ruang untuk ‘bernafas’ semula, namun penganalisis memberi amaran tekanan akan kembali dirasai apabila US dolar mengukuh semula selepas ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat