US Dolar Kian Longlai, Apakah Yang Sebenarnya Berlaku Dalam Pasaran?

619

US dolar didagangkan stabil pada hari Isnin selepas mengukuh untuk minggu kelima berturut-turut berdasarkan data inflasi yang kukuh, sementara yen didagangkan berhampiran tahap psikologi penting 150.

Pasaran AS ditutup pada hari ini bersempena cuti Hari Presiden, dengan jumlah perdagangan yang kemungkinan rendah sepanjang hari. Indeks US dolar, yang menjejaki mata wang US dolar berbanding enam mata wang utama, hanya  sedikit berubah pada 104.157, selepas mengukuh 0.18% pada minggu sebelumnya.

US dolar mengukuh ke paras tertinggi sejak pertengahan November pada hari Selasa lalu kepada 104.97 selepas angka menunjukkan inflasi AS didapati lebih kukuh daripada yang dijangka pada Januari, menyebabkan pelabur mengurangkan jumlah pengurangan kadar faedah yang mereka jangkakan dari Federal Reserve pada tahun ini. Waima begitu US dolar mula merosot pada hari Khamis selepas data menunjukkan penjualan runcit kian turun pada bulan lalu.

Euro disisi lain kekal tidak berubah pada paras dagangan $1.0777, selepas susut kepada paras terendah tiga bulan pada $1.0695 pada minggu lalu. Sterling mengukuh 0.1% kepada $1.2612. Data indeks pengurusan pembelian berdasarkan kajian, yang dikeluarkan pada hari Khamis, akan memberikan gambaran tentang kesihatan ekonomi zon Eropah dan UK pada Februari.

Minit mesyuarat terakhir Fed,  dijadualkan pada hari Khamis awal pagi, kemungkinan akan menjadi indikasi utama bagi pelabur minggu ini. Pelabur menjangkakan sekitar 90 mata asas pemotongan kadar faedah pada tahun ini, berdasarkan penetapan pasaran wang, turun dengan ketara dari sekitar 145 mata asas pada awal Februari.

US dolar menyusut  0.16% berbanding dengan yen pada hari Isnin, didagangkan kepada 149.97 yen. US dolar didagangkan  sekitar 6% lebih tinggi berbanding dengan yen tahun ini kerana Jepun telah mengekalkan dasar monetari yang sangat longgar. Perkara ini secara tidak langsung telah menghadirkan jurang yang besar di antara hasil bon kedua-dua negara yang telah meningkatkan daya tarikan US dolar.

Kenaikan itu telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan pelabur bahawa pihak pentadbira Jepun boleh campur tangan untuk mengukuhkan mata wang yen. Menteri Kewangan Shunichi Suzuki minggu lalu memperingatkan bahawa “pergerakan yang pantas adalah suatu yang tidak diingini bagi ekonomi”.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat