US dolar ketara mengukuh pada penutupan dagangan minggu lalu apabila petunjuk terbaru memberi isyarat bahawa Federal Reserve (Fed) bakal menangguhkan pelonggaran dasar monetari mereka untuk tahun ini.
Menjadi tumpuan pada sesi terakhir Jumaat lalu, laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) dinantikan selepas beberapa data ekonomi telah diberikan perhatian sebelum itu.
Meneliti laporan, pertambahan pekerjaan pada bulan Mei sebanyak 272,000 adalah lebih tinggi mengatasi ramalan 182,000 namun kadar pengangguran meningkat kepada 4.0% berbanding ramalan untuk kekal di paras 3.9%.
Manakala, purata pendapatan per jam catat peningkatan kepada 0.4% mengatasi ramalan untuk meningkat kepada 0.3%.
Sektor buruh yang dinilai masih baik itu telah mengurangkan jangkaan untuk Fed laksanakan langkah pemotongan kadar faedah yang dijangkakan pada September nanti.
Tampaknya, Fed dilihat masih akan terus mengekalkan dasar monetari sedia ada berbanding bank-bank pusat lain yang telah memulakan kempen peralihan kepada pelonggaran dasar masing-masing.
Untuk petunjuk seterusnya, tumpuan pasaran kini akan beralih pula kepada data inflasi pengguna AS pada Rabu dan pada awal pagi Khamis, seluruh tumpuan akan diberikan kepada keputusan mesyuarat FOMC.
US dolar yang dijangka akan mengekalkan momentum pengukuhan di awal minggu ini bakal memberikan tekanan kepada mata wang utama yang lain dan juga pasaran komoditi.
Dagangan emas merosot pada penghujung minggu lalu apabila harga logam kuning itu menjunam hingga ke bawah paras $2,300.