US dolar melanjutkan corak pengukuhannya pada dagangan Rabu semalam ketika kecenderungan semakin meningkat untuk Federal Reserve (Fed) terus mengekalkan dasar monetari ketat mereka.
Pandangan-pandangan ahli Fed yang kembali menjadi tumpuan pada awal minggu ini semakin mengecilkan peratusan untuk langkah pemotongan kadar faedah Fed pada September nanti.
Kenaikan US dolar turut didorong oleh peningkatan indeks dolar (DXY) yang naik lebih tinggi ke paras 105.100 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) mendaki ke paras ketinggian 4 minggu mencapai 4.63%.
Namun situasi positif US dolar ketika ini boleh berubah dengan reaksi pasaran terhadap data-data ekonomi penting yang akan diterbitkan di penghujung minggu.
Pada sesi New York malam ini, bacaan data pertumbuhan ekonomi AS untuk suku pertama 2024 akan dinilai sekali lagi dengan angka ramalan yang lebih rendah berbanding bacaan awal diterbitkan bulan lalu.
Seterusnya, perhatian akan terarah kepada data tumpuan Fed pada Jumaat iaitu indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna AS.
Ahli-ahli Fed kebanyakannya dilihat masih belum bersedia untuk beralih kepada pelonggaran dasar, dan bersetuju dengan pandangan Pengerusi Jerome Powell untuk mengekalkan kadar faedah tinggi itu lebih lama.
Namun, data-data tumpuan seperti inflasi, NFP dan KDNK AS mula beri amaran awal untuk risiko ekonomi AS bagi tempoh terdekat ini.
Mata wang utama lain dalam pasaran kembali didagangkan tertekan setelah US dolar paparkan pengukuhan lebih ketara semalam.
Begitu juga berlaku pada dagangan emas yang gagal mengekalkan peningkatannya semalam selepas kenaikan 3 hari berturut-turut sebelum ini.
Harga emas telah jatuh semula di bawah paras $2,340 di sesi New York semalam.