US Dolar Masih ‘Okay’, Data CPI AS Jadi Petunjuk Penting Sebelum Mesyuarat FOMC!

243

Walaupun tidaklah begitu ketara seperti penutup dagangan minggu sudah, US dolar masih berjaya meneruskan pengukuhannya ke paras tertinggi 4 minggu ketika pasaran dalam keadaan berwaspada menjelang data tumpuan penting untuk hari ini (Rabu).

Menjadi indikator utama Federal Reserve (Fed) dalam penetapan dasar monetari, data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan diterbitkan pada jam 8.30 malam waktu tempatan, akan diperhatikan dengan teliti.

Peningkatan pada bacaan indeks harga pengguna (CPI) itu akan menguatkan lagi jangkaan untuk Fed mengekalkan dasar monetari yang ketat selepas data pekerjaan Jumaat lalu juga papar bacaan yang memberangsangkan bagi bulan Mei.

Bacaan inflasi pada April telah menurun daripada 3.5% kepada 3.4%. Pasaran menjangkakan untuk bacaan terbaru pada Mei untuk kekal di paras 3.4%.

Di pertengahan sesi New York pula, keputusan mesyuarat FOMC akan diumumkan pada jam 2 pagi.

Majoriti pasaran masih menjangkakan kadar faedah untuk dikekalkan di paras 5.50%, namun apa yang lebih penting adalah nada ucapan dari Pengerusi Fed Jerome Powell.

Adakah beliau akan mengekalkan nada hawkish sebelum ini atau mula menukar pandangan untuk beralih ke arah pelonggaran dasar?

Mata wang utama lain dalam pasaran kembali menerima tekanan dengan pengukuhan semula US dolar.

Euro kekal lemah berbanding US dolar dengan risiko ketidaktentuan politik di Eropah selain dasar monetari bank pusat juga telah beralih kepada fasa pelonggaran bermula minggu lepas.

Pound turut berisiko untuk melanjutkan penyusutan nilai susulan laporan pekerjaan UK yang diterbitkan semalam memaparkan angka tuntutan faedah pengangguran yang melonjak tinggi pada Mei selain kadar pengangguran yang juga meningkat pada April lalu.

Pemacu mata wang Pound hari ini pula adalah pada data pertumbuhan ekonomi UK yang bakal diterbitkan di awal sesi Eropah sebentar lagi di mana turut menjadi tumpuan bagi bank pusat England (BOE) untuk penetapan dasar monetari mereka.

Sementara itu, mata wang Asia termasuk dolar New Zealand dan dolar Australia masih bergerak stabil menyerap tekanan pengukuhan US dolar.

Namun, perubahan arah harga dengan pergerakan drastik menjadi antara situasi yang dibimbangkan berlaku berdepan reaksi data CPI AS dan mesyuarat FOMC selepas ini.

Dagangan emas juga masih menunjukkan pergerakan positif berlegar di atas zon $2,300 namun gelora akan menanti menjelang pembukaan sesi New York malam nanti.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat