US Dolar Pasif, Pound Berisiko Menjelang Mesyuarat Polisi BOE

154

Pergerakan pasaran mata wang pada Rabu semalam dilihat perlahan berikutan ketiadaan faktor pemacu dengan kekurangan data-data ekonomi yang diterbitkan.

US dolar bergerak pasif namun stabil selepas berjaya paparkan pemulihan semula di awal minggu berbanding kemerosotan nilai yang berlaku pada minggu lepas.

Pemulihan US dolar didorong oleh kenyataan-kenyataan terbaru yang sedang dilontarkan oleh ahli-ahli Federal Reserve (Fed) yang membuatkan fokus kembali terarah terhadap dasar monetari di Amerika Syarikat (AS).

Beberapa pandangan terbaru oleh Presiden Fed Richmond Thomas Barkin dan Presiden Fed Minneapolis Neel Kashkari dilihat turut bernada hawkish, menyokong pandangan Pengerusi Jerome Powell pada mesyuarat FOMC minggu lalu.

Namun, penganalisis turut memberi amaran bahawa US dolar berisiko untuk kembali alami kejatuhan selepas amaran awal daripada laporan pekerjaan NFP AS untuk bulan April yang hadir dengan angka yang merosot.

Petunjuk seterusnya akan dinilai oleh data inflasi AS pada minggu hadapan yang menjadi ‘kompas’ utama buat Fed sekaligus akan mencorakkan lanskap pergerakan pasaran selanjutnya.

Sekiranya inflasi mula menunjukkan penurunan menuju sasaran bank pusat, jangkaan untuk langkah pemotongan kadar faedah Fed akan kembali meningkat semula.

Indeks dolar (DXY) mendatar di bawah paras 105.600 mata selepas peningkatan yang dipaparkan sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS (US10Y) meningkat perlahan ke paras 4.50%.

Kebanyakan mata wang utama masih bergerak perlahan susulan US dolar yang memaparkan pengukuhan semula minggu ini.

Pound didagangkan berhati-hati menjelang mesyuarat polisi monetari Bank of England (BOE) yang akan berlangsung hari ini.

Kadar faedah dijangka kekal di paras 5.25%, undian ahli bank pusat akan diperhatikan dan kenyataan susulan oleh gabenor berkenaan dasar monetari akan mempengaruhi kekuatan Pound.

Data tuntutan faedah pengangguran AS akan turut mencuri perhatian pelabur di sesi New York malam nanti yang sedikit sebanyak akan memacu pergerakan US dolar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat