Data pekerjaan dari AS dijangka mengecewakan lagi apabila data ADP Non Farm Employment Change yang dikeluarkan jam 8.15pm sebentar tadi hanya mencatat penambahan 102,000 pekerjaan berbanding jangkaan pada tahap 140,000.
Petunjuk dari data ADP kali ini dilihat bakal mengecewakan laporan data NFP yang bakal dikeluarkan pada hari Jumaat ini.
Data ADP kali ini dilihat bakal kembali menekan US Dollar walaupun sebelum ini US Dollar naik disebabkan keredaan perang dagang US dan China.
Data NFP pada Jumaat ini dijangka memberikan penambahan 165,000 selepas data mengecewakan pada bulan Mei hanya 75,000 penambahan. Walau bagaimanapun data ADP kali ini seolah tidak menyokong sentimen pertambahan tersebut.
ADP non-farm payroll ialah data yang menunjukkan perubahan tenaga kerja di Amerika yang hanya melibatkan sektor swasta. Data ini dikeluarkan oleh ADP (Automatic Data Processing, Inc).
Perbezaan antara data ADP NFP dan NFP ialah entiti yang mengeluarkan data ini. Data NFP dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Buruh US manakala data ADP NFP pula dikeluarkan oleh Automatic Data Processing, Inc. Namun data NFP memberi kesan yang lebih besar kepada pasaran berbanding data ADP NFP.
Data ADP-NFP hanya mengeluarkan data pekerjaan sektor swasta, tetapi data NFP mengeluarkan data pekerjaan swasta dan kerajaan.
Dalam ketidak tentuan pasaran sekarang, dilihat data NFP yang bakal keluar pada Jumaat ini, jika mengecewakan bakal memberikan impak kepada keputusan dasar oleh Fed yang sedang menimbang untuk memotong kadar faedah.
Tiada pergerakan drastik sejurus pengeluaran data NFP sebentar tadi, dan pasaran mungkin bertindak balas setelah jam 9.30pm (waktu Malaysia) ketika pasaran Wall Street dibuka.