USD Dijangka Kekal Kukuh Hingga Penghujung Minggu?

413

Pengukuhan US dolar dilihat kekal diteruskan susulan jangkaan terhadap langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) dalam tempoh terdekat semakin menipis.

Ini disebabkan oleh penelitian pasaran terhadap data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) terbaru yang diterbitkan.

Data jualan runcit AS juga catatkan angka yang meningkat mengatasi ramalan untuk bulan Disember lalu mencerminkan ekonomi AS masih berdaya tahan.

Di sesi New York, US dolar dilihat masih memaparkan pergerakan positifnya namun sedikit suram pada dagangan menuju penghujung sesi.

Indeks dolar (DXY) diperhatikan sedikit berundur setelah meningkat ke paras 103.70 mata iaitu tertinggi sejak 14 Disember lalu.

Sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS pula berlegar di ketinggian paras 4.10%.

Mata wang yang dilihat menyerlah pada dagangan Rabu semalam adalah Pound dengan reaksi positif susulan data inflasi UK diterbitkan di sesi Eropah.

Bacaan tahunan indeks harga pengguna (CPI) UK meningkat kepada 4.0% untuk Disember dari paras 3.9% bulan sebelumnya, meleset berbanding jangkaan untuk turun kepada 3.8%.

Petunjuk terbaru yang mencadangkan untuk bank pusat meneruskan pengetatan dasar monetari telah memberi kesan lonjakan nilai kepada Pound.

Mata wang utama lain dilihat menerima asakan tekanan dengan pengukuhan US dolar sejak awal minggu, namun sedikit pulih pada sesi Asia pagi ini (Khamis).

Dolar Australia diperhatikan di sesi Asia setelah laporan data pekerjaan diterbitkan menyaksikan ekonomi kehilangan 65,000 pekerjaan pada penghujung 2023 sementara kadar pengangguran kekal dicatatkan di paras 3.9% seperti ramalan.

Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah bagi kedua-dua penanda aras catat sedikit pemulihan, namun ketidaktentuan terus menyelubungi pasaran ekoran ketegangan geopolitik Timur Tengah terus berlarutan.

Sementara, dagangan emas pula merosot dengan kejatuhan harga berterusan semalam sehingga hampir mencecah ke paras $2,000.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat