USD Diramal Merosot Sebab Fed, Ini Trader Perlu Faham!

693

Mata wang US dolar terus didagangkan lemah menuju ke penghujung minggu ini, berlegar di paras terendah sejak April 2022 lalu susulan pandangan pasaran terhadap dasar monetari bank pusat setelah meneliti data-data ekonomi terbaru.

Selepas inflasi pengguna menjadi tumpuan pada Rabu lalu, sesi New York pada Khamis semalam menilai pula bacaan indeks harga pengeluar (PPI) Amerika Syarikat (AS) yang melihatkan inflasi pengeluar pada Jun catat bacaan tahunan yang terendah sejak Ogos 2020.

Menambah tekanan kepada US dolar setelah data-data yang diterbitkan suram minggu ini, pasaran menjangkakan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) yang dicadangkan sebelum ini berkemungkinan akan dikurangkan kepada satu kali sahaja.

Pada awal minggu lalu, penggubal polisi juga melihat fasa pengetatan dasar sudah mula menghampiri penghujungnya, dan dengan terbitan data-data inflasi terbaru semakin menguatkan lagi pandangan tersebut.

Justeru, US dolar dilihat lebih cenderung untuk kekal dengan prestasi suramnya sementara tumpuan pelabur di sesi terakhir minggu ini akan terarah pada sentimen keyakinan pengguna AS dengan data tinjauan akan diterbitkan pada jam 10 malam nanti.

Mata wang utama lain masih mempunyai ruang untuk memulihkan nilai dagangan masing-masing, namun pelabur akan lebih berhati-hati dengan risiko aktiviti pengambilan untung (profit taking) di penghujung minggu.

Euro dan Pound masing-masing catatkan kenaikan ke paras ketinggian terbaru sejak Mac dan April 2022 berbanding US dolar pada minggu ini.

Mata wang komoditi juga tidak terlepas untuk pamerkan pengukuhan dengan dolar Australia ke paras tertinggi terbaru 4 minggu, sementara dolar New Zealand ke paras tertinggi sejak Februari lalu.

Yen juga berjaya kukuh berbanding US dolar ke paras tertinggi 7 minggu sementara dolar Kanada pula tertinggi 10 minggu.

Dagangan emas walau bagaimanapun tidak begitu agresif pada dagangan semalam, lebih mendatar di zon harga $1,960.

Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat