USD Masih ‘Steady’ Lagi Di Penghujung Minggu Ini?

272

Suasana pasaran bercampur-campur menuju dagangan ke penghujung minggu, namun US dolar dinilai masih lagi dalam prestasinya yang positif dari awal minggu ini.

Data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan sejak pembukaan awal tahun 2024 ini masih memberi gambaran baik dan menyokong US dolar untuk pulih.

Terbaru semalam, data tuntutan faedah pengangguran (unemployment claims) untuk bacaan minggu sebelum ini menunjukkan angka yang lebih rendah berbanding ramalan.

Dengan angka data yang kekal positif, semakin berkurangan jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) melaksanakan pelonggaran dasar monetari.

Pasaran kini melihat Fed berkemungkinan tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah pada tempoh terdekat.

Dengan kadar inflasi yang menunjukkan peningkatan semula dan data-data ekonomi lain turut meningkat, penggubal dasar sepertinya akan mengekalkan dasar monetari yang sedia ada atau tidak mustahil mencadangkan untuk pengetatan dasar ditingkatkan.

Indeks dolar (DXY) yang telah mencapai ketinggian 103.700 dilihat sedikit berundur ke sekitar 103.400.

Sementara, hasil perbendaharaan 10-tahun AS pamer peningkatan ke paras 4.17%, tertinggi terbaru sejak pertengahan Disember lalu.

Di sesi New York hari ini sebagai sesi dagangan terakhir penutup minggu akan diterbitkan data tinjauan pengguna AS oleh Universiti Michigan yang akan mempengaruhi pergerakan US dolar.

Sebelum itu di sesi Eropah, data jualan runcit UK akan diperhatikan yang akan memacu pergerakan mata wang Pound.

Pound paparkan pemulihan sejak Rabu lalu susulan data inflasi UK yang diterbitkan meningkat mengatasi ramalan untuk Disember 2023.

Mengikuti perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah bagi kedua-dua penanda atas WTI dan Brent masing-masing catatkan peningkatan untuk dua hari berturut-turut.

Sementara emas sedikit mengubati luka para pelabur apabila harga kembali papar peningkatan selepas kejatuhan sebelum ini hampir mencecah paras $2,000.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat