Yen Beri Kejutan, USD Bergelora Nantikan NFP!

438

Tumpuan pasaran beralih sebentar kepada mata wang Yen Jepun yang ketara melonjak semalam mencatatkan kenaikan harian terbesar dalam tempoh satu tahun susulan petunjuk terbaru berkenaan dasar monetari oleh bank pusat.

Gabenor Bank of Japan (BOJ) membincangkan berkenaan pilihan polisi selepas bank pusat beralih dari dasar yang longgar ketika ini.

Pasaran menginterpretasi petunjuk tersebut sebagai peralihan kepada pengetatan dasar monetari oleh BOJ ketika bank-bank pusat utama yang lain sedang berada di penghujung fasa tersebut.

Situasi ini telah menyokong pengukuhan ketara Yen semalam, namun penganalisis kekal memberi amaran untuk berhati-hati menantikan petunjuk selanjutnya.

Sementara itu, US dolar telah mula menunjukkan tanda-tanda untuk melemah semula apabila dilihat tidak berjaya untuk meneruskan corak pengukuhannya sebelum ini.

Data yang diterbitkan di sesi New York semalam menunjukkan tuntutan faedah pengangguran di Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 220,000 untuk minggu sebelum ini, sedikit tinggi berbanding catatan sebelumnya.

Indeks dolar (DXY) telah mula menunjukkan kemerosotan semula, jatuh ke paras 103.30 dari ketinggian 104.20 mata, sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS kekal suram yang mencecah paras 4.11%.

Tumpuan utama pasaran kini akan terarah kepada laporan data pekerjaan NFP AS pada sesi New York malam nanti dan dijangka akan memberi impak besar terhadap US dolar seperti yang terjadi pada Yen semalam.

Data ini akan menjadi petunjuk terbaru untuk jangkaan hala tuju dasar monetari Federal Reserve (Fed) yang kini dilihat berada pada landasan menuju ke arah pelonggaran dasar menjelang tahun 2024.

Pasaran komoditi kekal dengan prestasi suram menyaksikan kedua-dua penanda aras minyak mentah WTI AS dan Brent masing-masing jatuh ke paras $69.00 dan $73.70 setong.

Sementara dagangan emas berterusan papar pergerakan harga yang mendatar di zon $2,030 selepas kejatuhan harga dari awal minggu dari paras rekod tertinggi sepanjang masa.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat