Yuan Mengetuai Kenaikan Dalam Pasaran Susulan Jangkaan Pemulihan Ekonomi China

267

Matawang yuan China didagangkan meningkat ke paras ketinggian empat bulan berbanding US dolar pada 7.0663, disokong oleh optimisme terhadap jangkaan pemulihan yang kukuh dalam ekonomi dan pasaran ekuiti China.

Ekuiti China meningkat jauh lebih tinggi pada hari ini, dengan Shanghai Composite didagangkan ke paras ketinggian 2 ½ tahun dengan meraih keuntungan 5.71%, manakala indeks CSI 300 pula menokok 5.67%.

Lebih menarik lagi, adalah apabila jumlah dagangan meningkat dengan perolehan harian mencecah ¥ 1.4 trilion pada hari ini, iaitu paling tinggi dalam tempoh 5 tahun. Pada Khamis dan Jumaat minggu lalu juga perolehan harian direkodkan meningkat melebihi ¥ 1 trilion.

Peningkatan ini disokong oleh China International Capital Corp yang meramalkan pasaran saham akan meningkat dua kali ganda dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, sementara China Securities Times pula mengatakan kenaikan dalam pasaran saham yang sihat adalah lebih penting bagi ekonomi berbanding sebelum ini.

Di samping itu, peningkatan yang ditunjukkan dalam beberapa siri data ekonomi China pada minggu lepas turut meningkatkan keyakinan terhadap pemulihan negara itu.

Sementara itu, selera terhadap matawang berisiko juga meningkat, dengan memperlihatkan penurunan dolar greenback ketika kes baru coronavirus di Amerika Syarikat masih mencatatkan peningkatan yang tinggi pada hujung minggu.

Indeks dolar yang mengukur dolar greenback berbanding matawang utama diniagakan menyusut 0.23% kepada 96.93. Penerbitan data PMI perkhidmatan tinjauan ISM pada malam ini dijangka akan menunjukkan pemulihan setelah terkesan oleh penutupan akibat coronavirus.

Selain itu, keyakinan terhadap pemulihan ini juga turut mengangkat dagangan dolar Aussie dan New Zealand untuk memaparkan peningkatan sepanjang sesi Asia sebelum susut sedikit pada awal pembukaan sesi Eropah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat