Aussie Dollar yang melonjak lebih 100 pips pada awal sesi Asia Khamis semalam, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $0.7335, susut semula lebih 50 pips sepanjang sesi dagangan Eropah dan Amerika Utara, sebelum menutup sekitar paras $0.7280; setelah data pekerjaan bulanan Australia menunjukkan penurunan ketara dalam kadar pengangguran dan pengambilan pekerja tambahan. Pada masa yang sama, di New Zealand RBNZ mengurangkan kadar pinjaman sebanyak 25 mata asas; sekaligus memberikan Aussie sedikit sokongan belian.
Aussie terus meningkat berbanding semua 16 matawang utama dan kadar pulangan bon kerajaan Australia untuk tiga tahun, meningkat kepada yang tertinggi tahun ini; selepas Biro Statistik Australia melaporkan majikan menambah 71,400 jawatan pada bulan lepas, berbanding dengan ramalan median bagi penurunan sebanyak 10 ribu jawatan dalam kaji selidik Bloomberg. Pada masa yang sama, kadar pengangguran pula tidak disangka-sangka menurun kepada 5.8%.
[adrotate group=”6″]
“Ini adalah selaras dengan pandangan RBA bahawa kadar pengangguran di Australia mungkin telah memuncak dan mengurangkan risiko untuk penurunan kadar; sekaligus menyokong Dollar Australia untuk ke paras yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat,” menurut Elias Haddad, pakar strategi mata wang Commonwealth Bank of Australia di Sydney.