Pound Dollar berada dalam dagangan bercampur-campur Rabu semalam, dengan pergerakan sekitar 145 pips dari paras tertinggi harian sekitar $1.5100 ke serendah $1.4955, sebelum menutup sekitar paras $1.5000 yang lebih rendah dari pembukaan sekitar $1.5040; setelah laporan pekerjaan terkini UK menunjukkan penurunan yang ketara dalam pertumbuhan upah. Pada masa yang sama, Dollar terus mendapat permintaan apabila Federal Reserve AS memenuhi jangkaan pasaran dengan menaikkan kadar AS kepada 0.5% daripada 0.25% sebelum ini.
Di pasaran UK, Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) berkata, pendapatan purata, tidak termasuk bonus, meningkat hanya 2.0% dalam tempoh tiga bulan sehingga Oktober, perlahan dengan ketara daripada pertumbuhan sebanyak 2.4% pada bulan sebelumnya. Ahli ekonomi telah mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 2.3%. Upah, termasuk bonus, meningkat 2.4% tetapi turun dari 3.0% pada bulan sebelumnya.
[adrotate group=”6″]
Bank of England telah berkata bahawa ia ingin melihat pertumbuhan gaji melebihi 3% setiap tahun sebelum mempertimbangkan kenaikan kadar. Kadar pengangguran UK pula jatuh kepada 5.2%, paras terendah sejak Januari 2006, daripada 5.3% dalam tempoh tiga bulan hingga September. Bilangan penganggur berkurang sebanyak 110 ribu, penurunan terbesar sejak tiga bulan hingga September tahun lepas, menurut ONS lagi.
Hari ini UK bakal melaporkan jualan runcit yang dijangka meningkat dari -0.6% kepada 0.6% dan Amerika Syarikat pula bakal melaporkan Indeks Pembuatan Feds Philadelphia yang dijangka bertambah baik dari 1.9 mata kepada 2.1 mata dan tuntutan bantuan pengangguran yang dijangka berkurang dari 282 ribu pemohon kepada 271 ribu pemohon.