Emas yang melonjak lebih $10.85/oz pada sesi Asia, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1,074.65/oz, jatuh semula pada sesi Eropah untuk ke paras terendah harian sekitar $1,063.85/oz, sebelum menutup sekitar paras $1,068.95/oz; setelah pasaran berada dalam dagangan bercampur-campur Selasa semalam. Dalam pada itu, para trader dilihat kekal ‘bearish’ menjelang mesyuarat ECB esok, dan angka NFP Amerika Syarikat pada Jumaat ini. Inflasi AS masih kekal rendah dan kadar Federal Reserve yang bakal dinaikkan, dilihat hanya meninggalkan ruang untuk kejatuhan harga kepada emas.
Harga emas mencapai paras terendah dalam lima tahun, sekitar $1,050/oz buat kali pertama sejak Februari 2010. Harga terus merudum rendah apabila para pelabur berduyun-duyun ke pasaran saham, bon, atau hartanah dalam mencari pulangan yang lebih baik. Sementara itu, spekulator dilihat menjual kontrak logam berharga, dengan harapan untuk dapat membelinya kembali pada harga yang lebih rendah dan menguntungkan pada masa hadapan.
[adrotate group=”6″]
Sesetengah penganalisis memberi amaran bahawa pasaran seolah-olah tidak dapat distabilkan, walaupun selepas berita mengejutkan seperti Turki menembak jatuh pesawat pejuang Rusia. Peristiwa tersebut adalah satu percikan yang boleh mencetuskan keadaan yang sudah tidak menentu di Syria dan boleh menyebabkan harga emas memacu ke paras yang lebih tinggi. Sebaliknya, pasaran emas hanya memacu naik lebih $10/oz, hanya untuk diikuti oleh harga yang jatuh lebih rendah kemudiannya.
Pasaran sedang menanti Federal Reserve AS untuk menaikkan kadar buat kali pertama dalam tempoh lebih sembilan tahun. Emas merudum ke paras 5 tahun terendah dan kebanyakan komoditi juga telah mencecah harga terendah dalam tempoh enam tahun. Sekiranya berlaku sesuatu diluar jangkaan, emas dilihat berpotensi untuk melonjak lebih tinggi.