Harga minyak terus merudum Khamis semalam, pasca kenaikan kadar pertama Federal Reserve AS yang menyaksikan Dollar AS terus mendapat permintaan; sekaligus memberati komoditi yang kebanyakannya disebutharga dalam Dollar AS. Pada masa yang sama, sentimen pasaran minyak yang masih dibayangi oleh lebihan bekalan global tanpa tanda-tanda pengurangan pengeluaran, menyebabkan harga terus mencari dasar.
Di New York Mercantile Exchange, Crude bagi penghantaran Januari terus susut lebih $1.10 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $34.65 setong, sebelum menutup sekitar paras $34.80 setong; manakala di Intercontinental Exchange London, Brent berada dalam dagangan bercampur-campur, dengan melonjak lebih $0.95 setong pada pagi Eropah untuk ke paras tertinggi harian sekitar $37.95 setong, sebelum susut semula lebih $1.10 setong pada petangnya, untuk ke paras terendah harian sekitar $36.80 setong, dan kemudiannya menutup sekitar paras $36.95 setong.
[adrotate group=”6″]
Awal minggu lalu, kontrak bulan depan untuk Crude turun di bawah paras $35 setong buat kali pertama sejak tahun 2008, setelah pasaran terus memberikan reaksi kepada mesyuarat OPEC pada awal Disember lalu. Crude telah merudum sebanyak 8 daripada 10 hari urusniaga selepas OPEC bertemu di Vienna pada 4 Disember lalu, apabila kartel minyak terbesar dunia itu mengambil keputusan untuk menangguhkan pengurangan pengeluaran sekurang-kurangnya enam bulan sehingga mesyuarat seterusnya pada bulan Jun.
Di tempat lain, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata Khamis semalam, bahawa aktiviti perniagaan di seluruh Russia telah stabil di tengah-tengah isyarat bahawa harga minyak telah mencapai dasarnya. Sebelum mesyuarat setengah tahun OPEC June depan, Russia dan Arab Saudi dikatakan sedang berunding untuk mencapai kata sepakat dalam had pengeluaran, namun setakat ini hanya sedikit kemajuan yang dicapai.