Dollar Yen yang melonjak lebih 115 pips pada sesi Asia Jumaat lalu, untuk mencapai paras tertinggi harian sekitar 121.50, kembali merudum pada sesi Eropah untuk menutup sekitar paras 120.65, lebih rendah dari pembukaan; setelah Yen mendapat permintaan apabila Bank of Japan mengekalkan dasar sedia ada tanpa menambah sebarang ransangan tambahan.
Pada masa yang sama, kadar inflasi teras Jepun yang tidak termasuk harga makanan yang tidak menentu, susut 0.1% pada September manakala pendapatan isi rumah dan perbelanjaan juga jatuh, menurut kerajaan Jepun. Menggalakkan pengguna dan perniagaan untuk berbelanja lebih, yang menjadi tujuan utama dasar ekonomi Perdana Menteri Shinzo Abe, setakat ini telah terbukti sukar. Kemajuan yang perlahan ke arah matlamat inflasi 2% telah meningkatkan jangkaan bahawa BoJ mungkin mengumumkan ransangan tambahan. Jangkaan tersebut meleset dan menolak nilai Yen lebih tinggi.
[adrotate group=”6″]
Bank of Japan mengekalkan dasar kewangan Jumaat lalu, mungkin berpegang kepada pandangan bahawa pasaran buruh yang kukuh, akan meningkatkan gaji dan penggunaan yang cukup untuk mempercepatkan inflasi ke arah sasaran 2% itu. BoJ mengulangi ikrar untuk meningkatkan dana asas, atau wang tunai dan deposit di bank pusat, pada kadar tahunan sebanyak ¥80 trilion ($660 bilion) melalui pembelian bon kerajaan dan aset berisiko. Keputusan itu dibuat dengan undian 8-1.