Setelah pertemuan pertama antara Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo dan Presiden Donald Trump, Abe menyifatkan bahawa Trump adalah seorang pemimpin yang boleh dipercayai. Pertemuan itu dibuat apabila isu perdagangan dan keselamatan mencetuskan kebimbangan rakyat Jepun setelah pemilihan Trump sebagai Presiden AS yang baru.
Pada Khamis, Abe memberitahu pemberita di New York bahawa beliau telah menjelaskan pandangan mengenai pelbagai perkara kepada Trump secara terus terang di Trump Tower. Pun begitu, Abe enggan mengulas isi perbincangan yang berlangsung selama lebih satu jam itu dengan lebih lanjut.
Selepas mesyuarat terbabit, Abe berbesar hati kerana Trump sudi meluangkan masa untuknya meskipun sibuk dengan pelbagai urusan kerajaan yang lain. Beliau juga menyuarakan keyakinan terhadap pimpinan Trump kelak. Selain itu, Trump dan Abe juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan yang lebih terperinci pada masa akan datang.
Dalam kempen sebelum ini, Trump berjanji akan menggugurkan perjanjian perdagangan Pasifik serta mengatakan Jepun memanipulasi matawang US Dollar. Trump juga telah menimbulkan rasa tidak senang di Tokyo dengan mengancam untuk menarik tentera AS keluar dari negara tersebut melainkan jika kerajaan Jepun sudi memberi lebih peruntukan buat meraka. Dalam kempen beliau juga, Trump ada memberi cadangan supaya Jepun membangunkan senjata nuklearnya sendiri.
US adalah rakan perdagangan terbesar buat Jepun dibelakang China. Hubungan dua hala antara Jepun dan AS telah mencecah hampir $200 billion tahun lepas. Perniagaan dari Jepun juga telah mencipta lebih 800,000 pekerjaan di Amerika.
Pada lawatan ke Tokyo pada bulan lepas, Penasihat Keselamatan Trump, Michael Flynn berkata kedua-dua negara ini perlu melanjutkan perbincangan mengenai perkongsian kos tentera Amerika di Jepun.
Pun begitu, Menteri Pertahanan Tomomi Inada berkata pada minggu lepas bahawa negara tersebut membuat caruman yang mencukupi bagi membiayai kos ketenteraan di sana.