Aussie Dollar terus merudum Khamis semalam, jatuh lebih 65 pips untuk ke paras terendah harian sekitar $0.7310 sebelum menutup sekitar paras $0.7325; setelah kekurangan berita ekonomi dari Australia memberi tekanan kepada pasaran, kerana pelabur terus memberi tumpuan kepada kemungkinan besar 1 atau 2 penurunan kadar lagi oleh Reserve Bank of Australia (RBA) dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang.
Aussie telah jatuh sekitar 5 sen AS dalam tempoh tiga minggu, sebahagian besarnya selepas RBA menurunkan kadar buat pertama kali dalam setahun dan jangkaan pelonggaran lanjut. Pasaran kini terhenti di dalam zon ‘retracement’ teknikal utama. Jadi peperangan yang sedang berlaku antara trader teknikal jangka pendek yang percaya pasaran telah terlebih jual (oversold) dan trader jangka panjang yang percaya bahawa inflasi akan kekal rendah dan RBA akan terus mengurangkan kadar.
Minggu lepas, ramalan inflasi RBA mengatakan Australia tidak mungkin dapat mencapai bahagian bawah sasarannya pada tahun ini, kerana keadaan disinflasi negara maju yang merebak ke Australia. Reserve Bank of Australia meramalkan asas inflasi antara 1 – 2% pada 2016, dan kemudian 1.5 – 2.5% sehingga Jun 2018, dalam kenyataan dasar kewangan suku tahunannya. Oleh kerana berita ini, trader percaya ada kemungkinan 61% untuk penurunan kadar pada bulan Ogos ini.
Walaupun trend utama adalah ke bawah dan mungkin jatuh lagi, kadar tukaran AUD/USD adalah terdedah kepada faktor teknikal yang berkaitan dengan ‘short-covering’. Penjual sedang mencari peluang baik untuk mengambil keuntungan, tetapi tidak akan meninggalkan trend melainkan digalakkan untuk berbuat demikian dengan pembelian agresif ‘counter-trend’.