Euro Dollar terus merudum lebih 95 pips Rabu semalam, untuk ke paras terendah harian sekitar $1.1215 sebelum menutup sekitar paras yang sama; setelah Dollar mendapat permintaan tambahan selepas minit mesyuarat FOMC Federal Reserve AS yang disiarkan pada awal pagi tadi menegaskan pendirian Feds yang mahu menaikkan kadar pada Jun ini, sekiranya laporan ekonomi AS adalah seperti jangkaan. Pada masa yang sama, laporan inflasi Euro-Zone yang lemah semalam tidak memberikan sebab untuk Euro dibida.
Di pasaran Eropah semalam, Agensi Statisik Eropah, Eruostat melaporkan inflasi tahunan Euro-Zone kekal di bawah paras sifar, dengan angka -0.2% seperti yang dijangkakan. Pertumbuhan inflasi yang lemah ini mengecewakan ECB yang berharap ransangan tambahan akan memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi Euro-Zone. ECB telah mensasarkan pertumbuhan inflasi sekitar 2% sejak mula melancarkan program QE pada akhir tahun 2014.
Melemahkan nilai matawang telah menjadi strategi klassik banyak Bank Pusat dalam menjana pertumbuhan ekonomi. ECB tidak terkecuali apa jangkaan kenaikan kadar Feds dan pelancaran program QE ECB selepas Feds sejak awal tahun 2014, telah menyaksikan kadar tukaran EUR/USD susut lebih 3,500 pips kepada paras terendah sekitar $1.0520, sebelum Feds menaikkan kadar buat kali pertama selepas hampir sedekad pada awal Disember tahun lepas.
Minit mesyuarat FOMC yang disiarkan pada awal pagi tadi, menegaskan pendirian Feds AS yang akan meneruskan kenaikan kadar pada Jun ini sekiranya pertumbuhan ekonomi, inflasi dan sektor pekerjaan berada pada tahap yang memuaskan. Inflasi yang dilaporkan meningkat baru-baru ini, mendorong sentimen positif kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pekerjaan yang lebih baik. Laporan GDP pada 27 Mei ini akan menjadi perhatian disamping NFP pada awal bulan depan.
Hari ini ECB bakal menyiarkan minit mesyuarat terbaru yang bakal menjadi perhatian penganalisis bagi mendapatkan petunjuk untuk arah Euro selanjutnya. Amerika Syarikat pula bakal melaporkan Indeks Pembuatan Feds cawangan Philadelphia yang dijangka bertambah baik dari -1.6 mata kepada 3.2 mata dan tuntutan pengangguran yang dijangka berkurang dari 294 ribu kepada 276 ribu pemohon.