Euro Dollar melonjak lebih 40 pips Jumaat lalu, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1.1236 sebelum menutup sekitar paras $1.1218; setelah pasaran dipenuhi kegiatan mengambil untung jualan. Pada masa yang sama, ketiadaan data utama dari Euro-Zone menyebabkan pasaran berada dalam dagangan tipis, dengan Dollar masih menguasai pasaran apabila data jualan rumah sedia ada dilaporkan lebih baik dari jangkaan dan mengekang kenaikan Euro selanjutnya.
Di pasaran Amerika Syarikat, jualan rumah sedia ada dilaporkan bertambah sebanyak 5.45 juta unit berbanding jangkaan sebanyak 5.4 juta unit. Data sebelumnya juga disemak naik lebih tinggi dari 5.33 juta kepada 5.36 juta unit. Jualan rumah sedia ada yang meningkat ini menunjukkan pasaran perumahan yang baik didorong oelh pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan pertambahan gaji yang dilaporkan pada awal bulan ini.
Timbalan Pengerusi Feds Encik Stanley Fisher memberikan kenyataan bahawa untuk menaikkan kadar pinjaman kepada paras yang selari dengan keseimbangan jangka panjang, AS perlukan pertumbuhan ekonomi yang lebih cepat dengan suasana ekonomi yang mempunyai guna tenaga penuh dan inflasi yang semakin meningkat ke aras sasaran yang ditetapkan. Menurut FedWatch, para pelabur menaikkan kebarangkalian kenaikan kadar pada Jun depan daripada 15% kepada 30%, sebaik sahaja minit mesyuarat FOMC disiarkan.
FOMC telah mengekalkan julat kadar pada maksima 0.5% sejak menaikkannya buat kali pertama dalam masa hampir sedekad pada Disember tahun lepas. Kadar telah berada pada julat 0% – 0.25% selepas krisis kewangan 2008 yang memaksa Feds menurunkan kadar untuk membantu menjana ekonomi AS yang tenat ketika itu.