Pound Dollar terus memacu naik untuk hari ketiga berturut-turut Rabu semalam, lebih 225 pips untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1.4633; setelah sektor pekerjaan UK dilaporkan lebih baik dari jangkaan. Namun minit mesyuarat FOMC Federal Reserve AS pada awal pagi tadi yang menegaskan pendirian Feds tentang kenaikan kadar seawal bulan depan menambah permintaan untuk Dollar, sekaligus mengekang kenaikan Pound.
Di pasaran UK semalam, Pejabat Statisitik Kebangsaan (ONS) UK melaporkan bahawa pemohon bantuan pengangguran berkurang sebanyak 2,400 tuntutan kepada jumlah terkumpul 737,800 tuntutan. Pada masa yang sama, lebih 44 ribu orang pekerja telah ditambah berbanding tiga bulan lalu, menjadikan jumlah pekerja sebanyak 31.58 juta orang. Walau bagaimanapun, ini masih tidak menurunkan kadar pengangguran yang kekal pada 5.1%.
Menurut David Freeman dari ONS, “kadar pekerjaan mencapai paras terbaik dalam sejarah, tetapi ianya masih tidak cukup untuk menurunkan kadar pengangguran. Berkemungkinan pasaran pekerjaan mula perlahan.” Walau bagaimanapun ONS melaporkan pertumbuhan gaji yang bertambah baik dengan peningkatan sebanyak 0.1% kepada 2.0% daripada 1.9% pada sebelumnya. Pasaran menjangkakan ianya turun kepada 1.7%.
Dalam pada itu, Dollar yang mendapat kekuatan selepas minit mesyuarat terbaru FOMC Federal Reserve AS disiarkan pada awal pagi tadi, mengekang kenaikan Pound selanjutnya. Ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dalam minit terbarunya semalam, menegaskan keputusan untuk menaikkan kadar pada Jun ini sekiranya laporan ekonomi sejajar dengan jangkaan Feds.
Feds yang sebelum ini menurunkan jangkaan kenaikan kadar sebanyak empat kali kepada hanya dua kali pada tahun ini, kini memantau laporan inflasi, GDP dan sektor pekerjaan sebagai persediaan untuk menaikkan kadar. Laporan inflasi baru-baru ini yang meningkat lebih baik dari jangkaan, menguatkan sentimen positif untuk peningkatan dalam laporan pertumbuhan ekonomi (GDP) pada 27 Mei ini. NFP bulan depan akan menjadi penentu kepada keputusan FOMC Feds pada mesyuarat 16 Jun.
Hari ini UK bakal melaporkan jualan runcit bulan April yang dijangka bertambah baik dari -1.3% kepada 0.6%. Amerika Syarikat pula bakal melaporkan Indeks Pembuatan Feds cawangan Philadelphia yang dijangka bertambah baik dari -1.6 mata kepada 3.2 mata dan tuntutan pengangguran yang dijangka berkurang dari 294 ribu kepada 276 ribu pemohon.