Harga emas berada dalam dagangan bercampur-campur Khamis semalam, naik turun dari paras terendah harian sekitar $1,261.63/oz ke paras tertinggi harian sekitar $1,280.88/oz sebelum susut semula untuk menutup lebih rendah sekitar paras $1,263.36/oz; setelah Dollar AS mendapat sokongan belian, terkesan dari komen terbaru Presiden Feds cawangan Boston Eric Rosengren yang mengatakan bahawa Feds perlu menaikkan kadar jika data ekonomi bertambah baik seperti yang diharapkan. Beliau juga berkata pasaran memandang rendah potensi kenaikan kadar Federal Reserve dan terlalu pesimis mengenai kekuatan ekonomi AS.
Sebelum daripada ini, emas terus mendapat manfaat daripada jangkaan bahawa Federal Reserve tidak mungkin menaikkan kadar dalam masa terdekat, dengan pembeli yang seolah-olah datang pada hampir setiap kejatuhan harga baru-baru ini. Walau bagaimanapun, spekulator tidak mengejar pasaran di paras yang lebih tinggi; sekaligus mengekang kenaikan harga lebih lanjut terutamanya apabila pasaran menghampiri paras psikologi $1,300.00/oz.
Dalam berita lain, SPDR Gold Trust Holdings, dana dagangan bursa bersandarkan emas yang terbesar di dunia, dilaporkan memegang 27.07 juta auns emas pada hari Rabu, merupakan paras yang tertinggi sejak Disember 2013. Import emas dari India juga boleh mencecah rekod tertinggi tahun ini, di tengah-tengah penyeludupan meluas untuk mengelak levi kerajaan terhadap penghantaran luar negara, menurut laporan Australia dan New Zealand Bank (ANZ) – penghantar terbesar emas fizikal di Asia.
Pada masa yang sama, bank pelaburan Goldman Sachs menyemak naik jangkaan harga emas untuk beberapa bulan akan datang, dengan memetik sebab kedudukan spekulatif belian yang besar dan Dolar AS yang lemah. Bank berpengaruh itu berkata, ia telah menyemak semula pandangan harga tiga, enam dan 12 bulan untuk emas, masing-masing meningkat kepada $1,200/oz, $1,180/oz dan $1,150/oz daripada $1,100/oz, $1,050/oz dan $1,000/oz dalam laporan sebelum ini.
Goldman Sachs juga memberi amaran bahawa tidak banyak ruang untuk harga emas meningkat lagi. “Memandang ke hadapan, kami menyaksikan peningkatan terhad untuk harga emas ekoran ruang terhad yang diberikan Feds AS untuk Dollar AS menyusut nilai, dan ruang yang terhad untuk China memandu kekuatan matawang negara membangun dalam menyumbang kepada kelemahan Dollar.” menurut bank itu dalam laporannya.