Harga emas melonjak lebih $20/oz Jumaat lalu, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $1,295.55/oz sebelum susut semula untuk menutup lebih rendah, sekitar paras $1,289.12/oz; selepas laporan NFP bercampur-campur dan agak mengecewakan pembeli Dollar. Bagaimanapun Dollar mendapat sokongan dari komen beberapa Presiden Feds cawangan yang mahukan kadar naik sebanyak dua hingga tiga kali pada tahun ini.
Di pasaran Amerika Syarikat, laporan pekerjaan sektor bukan perladangan (NFP) menambah 160 ribu pekerjaan berbanding 203 ribu jangkaan. Angka sebelum ini juga disemak turun dari 215 ribu kepada hanya 208 ribu. Purata pendapatan lebih baik pada 0.3% seperti jangkaan berbanding 0.2% pada bulan lepas. Kadar pengangguran dilaporkan stabil pada 5%.
Penganalisis Goldman Sachs kecewa apabila laporan tersebut meleset dari jangkaan mereka, sebanyak 240 ribu. Angka tersebut juga jauh lebih tinggi dari jangkaan konsensus pasaran sebanyak 205 ribu. Sebelum ini Goldman menjangkakan pertambahan 225 ribu pekerjaan, namun menyemak naik selepas prospek ekonomi yang baik dilihat apabila FOMC dalam mesyuarat terbaru lalu, menggugurkan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global.
Harga emas ditetapkan sebanyak dua kali sehari di London, dimana Goldman Sachs adalah salah sebuah anggota jawatankuasa penetapan harga, selain Barclays, Bank of China, Bank Pembangunan China, HSBC, JP Morgan, Morgan Stanley, Societe Generale, Standard Chartered, ScotiaBank, Toronto Bank dan UBS.