Harga minyak mentah terus melonjak dalam reaksi kepada mogok 3 hari oleh penjawat awam sektor minyak dan gas Kuwait yang mahukan pemotongan gaji dan manfaat pekerjaan dibatalkan. Syarikat minyak negara Kuwait yang kini berdepan dengan kejatuhan harga, mula mengambil langkah drastik untuk mengawal kos dengan pemotongan gaji dan manfaat pekerja mereka. Kuwait adalah pengeluar ke-10 terbesar dunia dengan output sebanyak 2.7 juta tong sehari.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Jun melonjak sekitar $2.00 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $43.30, sebelum menutup sekitar paras $43.12 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Jun melonjak sekitar $2.10 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $44.92, sebelum menutup sekitar paras $44.74 setong.
[adrotate group=”6″]
Di pasaran AS semalam, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS melaporkan inventori minyak mentah komersil bertambah sebanyak 2.1 juta tong, lebih rendah dari pertambahan 6.6 juta tong pada minggu lepas. Angka tersebut sedikti rendah dari jangkaan pasaran sebanyak 2.2 juta tong. Dalam pada itu, Institut Petroleum Amerika Syarikat (API) melaporkan inventori minyak mentah di hab minyak Cushing, Oklahoma bertambah 3.1 juta tong kepada jumlah terkumpul sebanyak 539.5 juta tong, selepas kejatuhan sebanyak 235 ribu tong.
Di pasaran hadapan AS, spekulator dilihat terus mengurangkan kontrak belian mereka dari paras tertinggi sebanyak 307,977 kontrak pada 22 Mac kepada 289,161 kontrak pada 12 April minggu lepas. Kontrak Jun masih mendapat permintaan terbanyak dengan 491,008 ‘open interest’, diikuti Julai dan Disember dengan 249,493 dan 200,645 ‘open interest’ masing-masing.