Harga minyak terus memacu naik untuk hari ke-sembilan Isnin semalam, setelah spekulasi berlegar dalam pasaran bahawa negara pengeluar OPEC sedang melakar strategi untuk menstabilkan harga minyak pada $50 setong. Pada masa yang sama, bilangan pelantar minyak AS yang terus berkurangan selama sebelas minggu berturut-turut, adalah yang paling sedikit sejak 4 Disember 2009, sekaligus menunjukkan pengeluaran yang mula dikawal.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran April memacu naik lebih $2 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $38.10 setong, sebelum menutup sekitar paras $37.90 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Mei memacu naik lebih $2.15 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $41.05 setong, sebelum menutup sekitar paras $40.85 setong.
[adrotate group=”6″]
Dalam temuramah eksklusif bersama Reuters, pengerusi eksekutif syarikat perundingan PIRA yang berpusat di New York, Gary Ross dalam nada berhati-hati mengatakan bahawa “harga minyak telah mencapai dasar pada harga terendah bulan lalu, sekitar $30 setong. Harga di pasaran hadapan pula mencapai puncak pada $50 setong Oktober lalu, sebelum merudum semula.” Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, harga minyak kembali pulih selepas pasaran diberitakan bahawa Russia, Arab Saudi dan dua anggota OPEC yang lain, cuba berunding untuk menstabilkan harga minyak.