Harga minyak melonjak naik Jumaat lalu, selepas kebakaran hutan di wilayah minyak Kanada terus merebak dan bertambah buruk. Fort McMurray dalam wilayah Alberta yang merupakan antara wilayah pengeluar minyak terbesar Kanada, ditutup dan penduduk terpaksa dipindahkan bagi menghadapi kebakaran tersebut. Kerugian lebih $1 bilion dicatatkan dan hampir 500 ribu tong pengeluaran minyak terhenti akibat kebakaran tersebut.
Di New York Mercantile Exchange (NYMEX), Crude bagi penghantaran Jun melonjak lebih $1.75 setong untuk ke paras tertinggi harian sekitar $45.33, sebelum menutup sekitar paras $44.61 setong; manakala di Intercontinental Exchange London (ICE) pula, Brent bagi penghantaran Julai melonjak lebih $1.90 setong, untuk ke paras tertinggi harian sekitar $46.11, sebelum menutup sekitar paras $45.32 setong.
Di pasaran minyak global, Arab Saudi diberitakan mendapat menteri minyak baru menggantikan menteri veteran Ali Al-Naimi. Menteri baru, Tuan Khalid Al-Falih dikatakan seorang yang tegas dengan pembaharuan dan penyokong harga minyak yang rendah. Tuan Khalid berkata dalam satu temuramah Ahad semalam, bahawa Saudi akan terus mengekalkan polisi pengeluaran stabil demi untuk memenuhi permintaan global.
Arab Saudi yang merupakan negara pengeluar minyak kedua terbesar dunia, dibelakang Amerika Syarikat, merupakan negara pengeksport minyak terbesar dunia dan ketua kartel OPEC. OPEC bakal bersidang pada Jun depan di Vienna dalam usaha menstabilkan kembali harga minyak.