Dollar CAD berada dalam dagangan bercampur-campur Khamis semalam, turun naik dari paras tertinggi harian sekitar C$1.2877 ke paras terendah harian sekitar C$1.2770, sebelum memacu naik semula untuk menutup lebih tinggi sekitar paras C$1.2845; setelah harga minyak yang tidak menentu menyebabkan Loonie kehilangan sokongan belian. Pada masa yang sama, Dollar AS mendapat sokongan belian selepas Presiden Feds cawangan Boston, Eric Rosenberg memberikan komen agresif tentang kenaikan kadar pada bulan Jun depan.
Dalam ucapan yang disediakan, Encik Rosenberg mengatakan bahawa Feds perlu menaikkan kadar jika data ekonomi bertambah baik seperti yang diharapkan. Beliau juga berkata pasaran memandang rendah potensi kenaikan kadar Federal Reserve dan terlalu pesimis mengenai kekuatan ekonomi AS. Kenyataan yang dibuat pada petang New York itu menolak naik Indeks Dollar lebih 35 mata, untuk menutup sekitar paras 94.10 mata, lebih tinggi dari hari Rabu yang menutup sekitar paras 93.80 mata.
Sebelum daaripada itu, CAD mendapat permintaan dalam sesi awal dagangan, terkesan dari kenaikan harga minyak yang dipacu oleh laporan Jabatan Maklumat Tenaga (EIA) AS yang memberansangkan. Emas hitam itu juga mendapat sokongan belian selepas pemangku menteri minyak Kuwait, Tuan Sheikh Anas al-Saleh memberikan sentimen positif kepada pasaran. Beliau mengatakan kenaikan harga minyak baru-baru ini adalah wajar dan mencerminkan asas bahawa masalah pengeluaran lebihan minyak global telah kembali terkawal.
Hari ini Amerika Syarikat bakal melaporkan tiga data ekonomi utama, dengan jualan runcit yang dijangka tidak berubah pada -0.3%, harga pengeluar yang dijangka meningkat dari -0.1% kepada 0.3% dan sentimen pengguna yang bertambah baik dari 89.0 mata kepada 89.9 mata. Tiada sebarang laporan berimpak tinggi dari Kanada hari ini.