Selepas indeks pembuatan di US dilaporkan meningkat, sektor pembuatan di Kanada juga mencatatkan peningkatan dengan (Canadian PMI manufacturing index) naik dari 51.5 kepada 51.8 pada Disember yang merupakan bacaan tertinggi sejak Julai lalu.
Peningkatan ini banyak disumbangkan oleh kenaikan tempahan yang tertinggi sejak dua tahun lalu, dan peningkatan dalam pengeluaran sejak lima bulan lepas, berikutan suasana permintaan yang semakin baik.
Data ini secara keseluruhan mengekalkan jangkaan sektor pembuatan yang kukuh beberapa bulan ke hadapan. Pemulihan harga minyak juga akan menyokong kepada perbelanjaan dalam sektor tenaga Kanada yang mempunyai impak besar kepada keseluruhan sektor pembuatan di negara ini.
Manakala dalam laporan berlainan, sektor pembuatan Jepun turut mencatatkan peningkatan empat bulan berturut-turut pada Disember yang memberi isyarat permintaan global yang semakin baik.
Bacaan (Markit/Nikkei final manufacturing purchasing managers’ index,PMI) indeks sektor pembuatan Jepun ini naik ke paras 52.4 bulan lalu dari 51.3 pada November. Bacaan ini juga melebihi jangkaan pasaran iaitu 51.9.
Jepun merekodkan pertumbuhan yang kukuh dalam pengeluaran dan tempahan baru walaupun kos inflasi semakin meningkat. Keadaan operasi juga semakin baik dan meningkat ke tahap tertinggi sejak Disember 2015.
Bulan lalu, tinjauan Tankan (Tankan survey) juga mencatatkan peningkatan dalam sektor pembuatan domestik. Peningkatan dalam data ini adalah yang pertama sejak enam suku tahunan yang lalu dan mencapai paras tertinggi tahun ini.