Bank of England (BoE) pada Rabu berkata bahawa syarikat-syarikat dilihat akan mengekalkan pelaburan dalam kadar sederhana tahun depan sebelum ia mulai melemah beberapa tahun selepas itu.
“Ketidaktentuan ekonomi adalah faktor terbesar yang menekan perancangan pelaburan oleh syarikat di Britain,” kata BoE berdasarkan tinjauan yang dijalankan terhadap 375 firma di UK.
“Jangkaan terhadap perdagangan di masa hadapan dan faktor-faktor lain yang membimbangkan selepas Brexit menyebabkan tren penurunan pelaburan ini.”
Pelaburan dilihat sebagai komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi. Ia merupakan komponen kedua terpenting selepas perbelanjaan kerajaan, dan jika berlaku kemerosotan, ia menyebabkan pertumbuhan ekonomi juga semakin perlahan.
Dalam tinjauan sama, BoE juga mendapati tekanan kadar gaji yang semakin meningkat menurut tinjauan yang dijalankan sendiri oleh bank pusat. Data ini dilihat akan melonjakkan keyakinan pembuat polisi yang mana kenaikan kadar faedah minggu lalu adalah tepat pada masanya.
Bank pusat menaikkan kadar faedahnya buat pertama kali minggu lalu dalam tempoh sedekad daripada 0.25% kepada 0.50%. Ada juga beberapa pemerhati pasaran dan penganalisis ekonomi yang mengkritik kenaikan inflasi adalah disebabkan oleh kejatuhan Sterling selepas undian Brexit tahun lalu. Terdapat juga penafian bahawa sememangnya tiada tekanan kenaikan kadar gaji dalam data yang dikeluarkan.