Presiden China Xi Jinping mahu satu resolusi kedamaian berkaitan dengan ketegangan yang semakin memuncak di Semenanjung Korea dalam perbualan telefon bersama Presiden AS Donald Trump pada Rabu. Ketika ini kumpulan penyerang pengangkut pesawat Amerika Syarikat sedang menuju ke arah wilayah tersebut.
Perbualan telefon antara Xi dan Trump adalah sehari selepas pertemuan mereka di Amerika Syarikat.
Ketegangan yang memuncak adalah disebabkan Korea Utara yang akan menjalankan ujian keenam peluru berpandu nuklear atau lebih banyak peluru berpandu di mana Trump mengancam untuk mengambil tindakan unilateral untuk menyelesaikan masalah itu.
Trump sebelum ini telah mengarahkan kapal pengangkut pesawat Carl Vinson untuk menuju semenanjung Korea dalam usahanya untuk mencegah ujian peluru berpandu nuklear Korea Utara.
Dalam perbualan telefon antara dua kuasa besar dunia itu, Xi menjelaskan “China komited supaya wilayah semenanjung bebas dari nuklear, menjaga keamanan dan kestabilan di semenanjung, dan menyelesaikan masalah secara aman.”
Jurucakap kementerian luar Lu Kang mengtakan Trump yang memulakan panggilan tersebut, mahu setiap negara mengurangkan ketegangan ini.
“Kami mahu pihak-pihak ini mengelak dari bertindak secara tidak bertanggungjawab. Dalam situasi ini, ia adalah sangat merbahaya,” kata Lu kepada wartawan.
Surat Khabar China ‘Global Times’ melaporkan Korea Utara perlu menghentikan perancangan nuklearnya “untuk keselamatan mereka sendiri.”
“Bukan saja Washington begitu yakin dan angkuh berikutan serangan ke atas Syria, tetapi Trump juga dilihat sebagai seorang individu yang menepati janjinya,” kata laporan tersebut.
“Pyongyang sepatutnya mengelak dari melakukan kesilapan.”