Pemulihan ekonomi Zon-Eropah akan kekal di landasannya tahun ini walaupun dengan ketidaktentuan politik di seluruh dunia, kata Presiden European Central Bank (ECB) Mario Draghi dalam laporan tahunannya.
“Ketidaktentuan politik akan terus berlaku pada 2017. Tetapi kami yakin ekonomi terus memulih disokong oleh polisi monetari.”
ECB telah memotong kadar faedah utamanya kepada sifar dan menjalankan program pembelian bon yang berjumlah trillion Euro sejak krisis kewangan 2007-2009.
Bermula dari bulan ini, ECB mengurangkan jumlah pembelian bon dari 80 billion Euro kepada 60 billion Euro sehingga hujung tahun ini.
Bank pusat dijangka akan membuat keputusan sama ada menghentikan program pelonggaran kuantitatif (Quantitative easing) bermula Januari– satu polisi yang banyak dikritik oleh Jerman.
Walaubagaimanapun, Draghi tidak memberikan sebarang isyarat tentang masa depan polisi monetari dalam laporannya. Tetapi bank pusat mengulangi bahawa mereka akan terus menjalankan mandat untuk mengekalkan kestabilan harga dalam 19 negara yang menggunakan matawang Euro.
Sebelum ini pada Khamis minggu lalu, Draghi berpendirian tiada keperluan untuk mengubah kenyataan polisi ECB, termasuk pembelian bon sehingga penghujung tahun ini dan juga kadar faedah terendah, selagi inflasi tidak mencapai paras yang memberangsangkan.
Ahli-ahli ECB juga dilihat berusaha untuk mengelakkan sebarang jangkaan perubahan polisi oleh pasaran pada mesyuarat April ini dengan kenyataan-kenyataan ‘dovish‘ yang dibuat sejak minggu lalu. Mesyuarat Jun akan menjadi lebih penting dalam jangka masa sederhana berikutan tempoh tersebut adalah selepas pilihanraya Presiden Perancis.