Bank of Japan mungkin akan mengurangkan unjuran inflasi seawal bulan ini berikutan pertumbuhan upah dan gaji yang perlahan disamping kelembapan penggunaan sektor swasta menghalang kenaikan harga dengan lebih cepat tahun ini. Kebimbangan ini disuarakan oleh salah seorang bekas eksekutif kanan Bank Pusat Jepun.
Menurut Kazuo Momma yang juga bekas pegawai yang menyelia dasar kewangan dan hal ehwal antarabangsa di BoJ, penurunan unjuran daripada sasaran inflasi sebanyak 1.5 peratus akan menambah kesukaran buat bank berkenaan untuk menamatkan program rangsangan secara besar-besaran.
Kata Momma lagi, tindakan meletakkan kadar faedah pada tahap yang agak rendah untuk tempoh yang terlalu lama juga boleh menjejaskan sentimen isi rumah kerana ia bakal menolak turun kadar pulangan terhadap simpanan mereka.
Ramalan harga oleh BoJ disifatkan terlalu optimistik. Justeru, kadar ini berpotensi untuk diturunkan bagi suku ramalan yang selanjutnya pada April ini.
Momma memberitahu Reuters bahawa apabila BoJ menurunkan sasaran inflasi, kadar faedah akan menjadi lebih sukar untuk dinaikkan.
Menurut ramalan yang telah dibuat oleh BoJ pada Januari lalu, inflasi teras diletakkan pada kadar 1.5 peratus bagi tahun 2017 dan 1.7 peratus pada tahun 2018.
Ekonomi Jepun telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan global.
Justeru, kebanyakan penganalisis ekonomi kini meramalkan bahawa BoJ akan mula mengurangkan langkah rangsangan secara besar-besaran kepada ekonomi.
Namun begitu, Kuroda menyifatkan bahawa rangsangan yang digunakan sekarang masih gagal meletakkan inflasi berhampiran kadar 2 peratus.
Harga pengguna teras meningkat sebanyak 0.2 peratus pada bulan Februari daripada tahap yang dicatat setahun yang lalu, sekali gus mencatat peningkatan tahunan terpantas dalam hampir dua tahun. Walau bagaimanapun, tidak termasuk kos makanan dan tenaga, indeks ini hanya melonjak sebanyak 0.1 peratus.
Ini Yang Terjadi Kepada Dagangan Emas Apabila Minit Mesyuarat Fed Dinilai Lebih ‘Hawkish’