Pasaran minyak global didagangkan lemah ketika ini dengan penurunan harga minyak WTI sebanyak $1 dari paras tertinggi hari ini $53.83 kerana kebimbangan peningkatan pengeluaran dari US pada 2017.
Dalam laporan terbaru Baker Hughes menunjukkan peningkatan dalam jumlah pelantar kepada 529 dari 525 sebelum ini. Ini merupakan peningkatan 10 minggu berturut-turut dan yang tertinggi dalam masa 12 bulan.
Peningkatan dalam laporan Baker Hughes ini mengekalkan jangkaan peningkatan pengeluaran minyak dari US yang sedikit memburukkan sentimen pasaran minyak global ketika ini.
Dalam laporan terkini COT (Commitment of Trader) juga merekodkan kejatuhan kecil dalam jumlah bersih pembelian (net-long). Walaubagaimanapun, belian bersih masih berada di atas 300,000 dalam masa empat minggu berturut-turut yang menunjukkan kecenderungan harga minyak global untuk terus stabil.
Dalam masa yang sama, terdapat juga kebimbangan bahawa negara-negara yang dikecualikan daripada pemotongan bekalan seperti Libya, Iran dan Nigeria akan menambah jumlah output mereka.
Segala perkembangan pemotongan keluaran minyak global oleh OPEC akan terus diperhatikan oleh pemain pasaran global kerana kebimbangan terhadap ketidakpatuhan dalam perjanjian pemotongan sebelum ini, dengan faktor US dolar akan terus memberi impak kepada pasaran komoditi ini.